Kim Swee saran selesaikan segera isu padang becak

No Image Caption
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berharap pihak bertanggungjawab dapat memikirkan pendekatan terbaik dalam menangani isu permukaan padang becak selepas The Rhinos melebarkan rekod tanpa kalah saingan Liga Super 2023 menewaskan Kuching City FC, 2-1 di Stadium Negeri, Kuching pada Isnin.

Malah Kim Swee mengakui perlawanan ketiga itu bukan sesuatu yang mudah buat kedua-dua pasukan dengan keadaan permukaan padang becak berikutan hujan tanpa henti sejak tengah hari Isnin.

“Saya difahamkan semalam (Ahad) hujan pun turun dengan begitu lebat. Pada saya keadaan padang tidak sesuai untuk perlawanan berintensiti tinggi.

“Kita harus fikirkan semula keadaan ini berdasarkan persembahan kedua-dua pasukan apabila para pemain banyak melakukan hantaran jauh satu sama lain.

“Perkara yang kita semua harus fikirkan semula apakah keadaan padang sebegini sesuatu yang bagus untuk bola sepak atau apakah ini akan memberikan kecederaan kepada para pemain,” katanya selepas perlawanan ketiga liga kedua-dua pasukan di Kuching pada Isnin.

Pada perlawanan itu, Sabah mengumpul mata kesembilan liga selepas mengharungi tiga perlawanan hasil jaringan Saddil Ramdani minit ke-24 dan Telmo Castanheira (m-58) manakala penyerang kelahiran Liberia, Abu Kamara mengurangkan defisit untuk Kuching City pada minit ke-47.

Tambah Kim Swee lagi, perlawanan Derbi Borneo tersebut hanya membuktikan kesungguhan dan keinginan kedua-dua pasukan untuk meraih tiga mata.

“Apa yang saya dapat lihat adalah setiap pemain Sabah dan Kuching City mempamerkan keinginan yang cukup tinggi.

“Kuching City sebelum ini tewas 0-5 kepada Selangor FC, mereka kembali dengan begitu agresif manakala Sabah pula mempamerkan komitmen cukup tinggi bermain dalam keadaan padang yang sebegini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!