Restoran Marrybrown terbakar angkara khianat
ALOR SETAR - Sebuah restoran makanan segera, Marrybrown mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila bahagian hadapan pintu kacanya mengalami kerosakan teruk akibat perbuatan khianat seorang lelaki yang tidak dikenali yang sengaja membakarnya, dalam kejadian di Jalan Kepala Batas, Jitra, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran itu jelas menunjukkan seorang lelaki menuang minyak di hadapan pintu kaca premis itu sebelum menyalakan api dengan pemetik api pada kira-kira pukul 5.20 pagi.
“Rakaman itu menunjukkan api menyambar bahagian pintu kaca premis menyebabkan ia meletup sebelum terkena sedikit pada suspek menyebabkan dia melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.33 pagi mendapati anggota bomba yang tiba lebih awal telah berjaya memadamkan kebakaran, dan siasatan di lokasi menemukan beberapa kesan cap jari pada botol yang mengandungi minyak petrol yang disyaki milik suspek.
Menurutnya polis telah menemubual pemilik restoran berkenaan yang tidak mengesyaki sesiapa terlibat dalam kejadian itu, namun memberitahu bahawa ada seorang bekas pekerjanya yang mempunyai masalah disiplin yang diberhentikan pada 31 Mac lalu.
“Pemilik restoran menyatakan bahawa pekerja yang diberhentikan itu ada datang menemuinya bersama suami untuk berbincang mengenai kerja tetapi dia kelihatan seperti tidak berpuas hati dan terus pulang ke rumah selepas pertemuan itu,” katanya.
Susulan itu, Mohd Ismail berkata pihaknya sedang berusaha mengesan bekas pekerja itu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!