Kes poligami tanpa kebenaran meningkat

Abdul Aziz (tengah) ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang di sini pada Selasa.
Abdul Aziz (tengah) ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Statistik dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menunjukkan permohonan mengesahkan dan mendaftarkan poligami di Selangor lebih tinggi berbanding pemohon kebenaran untuk poligami.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, terdapat 1,617 kes permohonan mengesahkan dan mendaftarkan poligami direkodkan dalam tempoh 2019 sehingga 2022 berbanding pemohon kebenaran untuk poligami berjumlah 859 kes.

"Statistik ini menunjukkan pasangan telah bernikah poligami tanpa kebenaran iaitu bercanggah dengan perundangan adalah sekali ganda lebih banyak daripada yang memohon kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang di Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk memberi pencerahan kepada orang ramai berhubung hukum sebenar poligami menurut Islam dan perundangan berkaitan dengan poligami yang terpakai, khususnya di negeri Selangor.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, masyarakat Islam yang berhasrat untuk berpoligami diingatkan agar mematuhi undang-undang berkaitan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sedia ada mewajibkan suami untuk berlaku jujur dan berterus terang dengan pasangan sedia ada berhubung hasrat mereka untuk berpoligami.

"MAIS juga ingin menasihatkan masyarakat Islam di negeri Selangor agar tidak menggunakan jalan singkat untuk berpoligami melalui 'nikah sindiket', 'nikah sempadan' dan seumpamanya," katanya.

Menurut Abdul Aziz, perbuatan itu bukan sahaja akan memudaratkan perkahwinan sedia ada dan menjejaskan kesejahteraan sesebuah keluarga, bahkan pasangan berpoligami melalui cara itu berhadapan dengan risiko pernikahan mereka tidak sah mengikut hukum syarak.

"Tindakan bernikah poligami tanpa kebenaran ini juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

"Mana-mana individu yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Malah, mereka yang bersubahat terhadap kesalahan poligami tanpa kebenaran juga boleh dikenakan hukuman yang sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!