KWSP: Rakyat perlukan sekarang, bukan 15 tahun lagi - Ismail Sabri
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat memerlukan dana pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekarang, bukannya 15 tahun akan datang.
Justeru, menurutnya meskipun menyambut baik inisiatif tambahan caruman RM500 kepada pencarum B40 dalam Belanjawan 2023, kerajaan tidak wajar terus 'menutup pintu' mempertimbangkan harapan rakyat.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana berikan tambahan caruman RM500 kepada pencarum B40.
"Tapi duit itu dimasukkan sebagai caruman untuk dikeluarkan sebelum bersara. Kalau penyimpan umur 40 tahun, 15 tahun akan datang baru boleh keluarkan RM500 tu. Murnilah apa yang kerajaan nak buat tu.
"Tapi apa yang rakyat mahu adalah sekarang bukan 15 tahun akan datang... yang mereka hadapi kesukaran adalah sekarang... rumah nak dilelong adalah sekarang, anak nak masuk univeristi adalah sekarang, mereka nak diisytiharkan mufli, sekarang.
"Kalau tunggu 15 tahun, rumah dah kena lelong dah.. dah muflis dah," katanya ketika Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ismail Sabri (BN-Bera) juga berkata, kerajaan sekurang-kurangnya wajar mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran secara bersasar dan bersyarat.
Ujarnya, ruang kepada mereka yang memerlukan perlu diberikan untuk mereka meneruskan kehidupan termasuk mangsa-mangsa banjir.
"Kalau tidak, ramai yang terjejas... Ini di Johor banjir besar ni pun akan menyebabkan ramai yang memerlukan kewangan secara mendesak
"Dulu lepas Covid-19, keadaan mendesak, kita bagi (pengeluaran KWSP). Jadi harap ada berita baik dalam penggulungan Menteri Kewangan nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!