Nahas bot: Mangsa tak pakai jaket keselamatan
MANJUNG - Mangsa yang maut dalam kejadian dua bot bertembung di perairan Lumut Pangkor pada Isnin dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.
Anak saudara mangsa, K Siva Rao, 38, berkata, perkara itu dimaklumkan oleh mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.
Menurutnya, kesemua penumpang ketika kejadian dalam perjalanan ke Kuil Sri Pathira Kaliamman Kovil di Pulau Pangkor bagi meraikan perayaan Masimagam.
"Ibu saudara saya datang dari Johor untuk pergi ke kuil itu dengan anak lelakinya. Bersama mereka ada beberapa keluarga dan kenalan lain yang turut serta.
"Saya baru dapat tahu, bot mereka naiki ini adalah bot nelayan, mereka sama-sama berpakat ke kuil menaiki bot berkenaan.
"Kebanyakan mangsa memang tak pakai jaket keselamatan termasuklah ibu saudara saya dan anaknya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung di sini pada Selasa.
Dalam kejadian itu, A Vijaya Letchumi, 43, meninggal dunia akibat lemas sementara anak lelaki berusia 18 tahun cedera di tangan selepas bot dinaiki bertembung mengakibatkan mereka terjatuh ke dalam laut.
Kejadian sekitar jam 9 malam itu turut mengakibatkan dua penumpang wanita, A Elesbeth Rani, 41, dan G Divapiria, 26, masing-masing dari Segari dan mempunyai hubungan ipar meninggal dunia akibat lemas.
Siva Rao yang bekerja sebagai nelayan berkata, pemergian ibu saudara ke kuil berkenaan telah diketahui ahli keluarga, namun tidak menyangka mangsa menggunakan bot nelayan.
Katanya, kebiasaan pada sambutan perayaan Masimagam, banyak bot akan berulang alik mengambil dan menghantar pelancong serta penduduk setempat ke kuil berkenaan.
"Saya pun tidak pasti aspek keselamatan ketika dalam bot ketika kejadian, tetapi mungkin makcik boleh diselamatkan kalau dipakaikan jaket keselamatan, begitu juga penumpang yang lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua bot berkenaan disyaki dipandu laju dengan satu daripadanya tidak mempunyai lampu menyebabkan pertembungan berlaku.
"Keadaan laut ketika kejadian tidak bergelora dan cuaca juga baik. Buat masa ini, tiada tangkapan dilakukan," katanya.
Bot terlibat membawa seorang tekong dan 17 penumpang dengan sembilan daripadanya pelancong luar dari Pulau Pinang dan Johor dalam perjalanan dari arah Lumut ke Pangkor.
Sebuah bot lagi dinaiki seorang tekong dan dua penumpang dari arah bertentangan.
Pertembungan mengakibatkan 10 penumpang terjatuh ke dalam laut, tiga daripada mangsa itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia.
Kejadian turut mengakibatkan seorang wanita berusia 43 tahun ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!