Saya diberitahu Bella terkena air panas semasa bergaduh - Saksi

Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen pada Selasa bahawa bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood ada menceritakan kepadanya mengenai Bella terkena tumpahan air panas daripada termos ketika remaja perempuan sindrom Down itu bergaduh dengan penghuni lain yang dikenali sebagai 'Balqis'.

Norhazira Masling, 35, rakan kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berkata, perkara itu dinyatakan oleh Yasmin yang merupakan saksi pendakwaan kelima ketika mereka berada dalam sebuah kereta sebelum masuk ke kawasan parkir di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, pada Julai 2021.

Saksi pembelaan kedua itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Mohammad Farhan Maaruf pada prosiding bela diri Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun berkenaan.

Mohammad Farhan: Apa yang dia (Yasmin) beritahu puan mengenai kejadian yang berlaku pada Bella?

Norhazira: Saya minta Yasmin memberitahu perkara sebenar dan jangan menipu. Yasmin menyatakan Bella terkena air panas dari termos selepas Bella dan Balqis bergaduh serta berlari-lari sehingga termos itu terbuka dan terbalik. Kejadian itu menyebabkan air mengalir lalu terkena belakang badan Bella.

Saksi itu berkata, Yasmin kemudian menghubungi 'bonda' iaitu Siti Bainun sebelum menarik Bella masuk ke tandas dan menyiram air sejuk pada badan Bella yang terkena air panas.

Norhazira, seorang jururawat berkata, tiada individu lain bersama mereka semasa perbualan antaranya dengan Yasmin mengenai insiden Bella terkena air panas itu.

Katanya, Yasmin serta dua lagi penghuni rumah itu iaitu Balqis dan Aida kerap mengadu mengenai Bella yang suka mengganggu kanak-kanak lain di kondominium berkenaan.

Menurutnya, dari awal melihat Bella membuatkan dia berasa tidak sedap hati dan bimbang Siti Bainun sukar menguruskan remaja itu yang menghidap sindrom Down.

"Sejujurnya dari hati, saya pernah cakap dekat Siti Bainun hantar Bella balik sebab dia mungkin tidak macam anak-anak yang lain tapi Siti Bainun cakap sayang," katanya.

Semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, Norhazira tidak bersetuju bahawa keterangannya di mahkamah hari ini adalah penipuan dan rekaan semata-mata demi menyelamat Siti Bainun.

Sementara itu, saksi pembelaan ketiga yang juga rakan tertuduh, Noor Marliana Ramlee, 28, berkata, beliau menganggap Siti Bainun seperti kakaknya selain menyifatkan pengasas rumah kebajikan itu seorang yang sayangkan kanak-kanak dan suka membantu orang.

Mengenai kejadian Bella terkena air panas, Noor Marliana berkata, beliau tidak melihat kejadian itu sebaliknya hanya mengetahuinya selepas Yasmin menghubungi Siti Bainun yang menyatakan Bella terkena air panas.

"Selepas Yasmin memaklumkan mengenai kejadian itu, saya dan Siti Bainun terus pulang ke kondominium dan saya cuma nampak ada merah-merah pada badan Bella. Siti Bainun kemudian letak krim atau aloe vera pada badan Bella yang merah-merah," katanya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!