Bungkus dadah bernilai RM10.8 juta dalam plastik kurier

Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan dadah yang dibungkus dengan bungkusan kurier.
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan dadah yang dibungkus dengan bungkusan kurier.
A
A
A

PASIR MAS - Tindakan penyeludup menggunakan pembalut kurier untuk membungkus dadah bernilai RM10.8 juta gagal mengaburi mata anggota polis apabila bahan terlarang itu dirampas di sini pada Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua dadah itu dirampas di dalam sebuah kereta Proton Exora berwarna silver.

Menurut beliau, dalam kejadian di Kampung Batu Balai, Kuala Krai, jam 7.15 pagi Rabu, anggota bertugas sedang membuat rondaan dan terserempak dengan kereta terbabit yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka datang dari Sungai Durian, Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

"Anggota terbabit bertindak memecut kenderaan dan pemandu kereta memberhentikan keretanya lalu melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran," katanya dalam sidang akhbar berkaitan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, cubaan untuk mengesan suspek tidak berjaya.

"Pemeriksaan dalam kereta mendapati terdapat beberapa guni mengandungi bungkusan berlogo syarikat kurier yang didalamnya mengandungi syabu.

"Kenderaan dan barangan dirampas manakala kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,"

Muhamad Zaki berkata, dadah untuk pasaran luar Kelantan itu berkenaan boleh digunakan seramai 3,000 penagih.

Tambah beliau, modus operandi penagih yang kini menggunakan plastik kurier beberapa syarikat bertujuan mengelakkan jenayah mereka dikesan.

"Bagaimanapun, polis tidak akan membiarkan mereka menggunakan sebarang taktik untuk 'melepaskan' dadah di pasaran.

"Untuk kes ini kita percaya mereka tidak meneruskan perjalanan kerana menyedari ada pihak berkuasa melakukan rondaan," katanya.

Jelas beliau, kes masih disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis kini sedang mengesan individu yang terlibat.

Sementara itu, Muhamad Zaki memberitahu, Ops Tapis Harian selama seminggu yang berakhir pada 4 Mac merekodkan 348 kes dan 398 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM120,988.30.

Sepanjang operasi itu, polis menahan seramai 13 individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM67,992.50 selain menyita empat buah motosikal, sebuah kereta dan wang tunai bernilai RM65,511.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!