Kenderaan anggota polis ganggu lalu lintas dah kena saman

Laporan berita mengenai individu yang merakam gambar kereta tertera vest polis menghalang lalu lintas untuk tampil bagi membantu siasatan.
Laporan berita mengenai individu yang merakam gambar kereta tertera vest polis menghalang lalu lintas untuk tampil bagi membantu siasatan.
A
A
A

IPOH - Pihak polis sudah mengenal pasti pemilik kenderaan Proton Saga yang tular mengganggu lalu lintas Persiaran Brash, berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini dalam kejadian 4 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, individu berkenaan merupakan pegawai rendah polis yang bertugas di Batu Gajah bagaimana pun ketika kejadian kereta terbabit dipandu seorang ahli keluarga pegawai berkenaan.

Menurutnya, semakan lanjut pihak polis mendapati vest polis yang tertera di dalam kenderaan berkenaan merupakan milik anggota tersebut.

"Tiga saman trafik telah dikeluarkan kepada pemandu berusia 27 tahun iaitu di bawah Kaedah 16 (1), Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN166/59] atas kesalahan halangan lalu lintas dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu yang sah.

"Pemilik kereta pula disaman di bawah Seksyen 26(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan seseorang memandu kenderaan tanpa lesen," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, pihaknya turut memaklumkan kes berkenaan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk siasatan melibatkan tindakan tatatertib terhadap pemilik kenderaan.

Jelasnya, siasatan masih diteruskan dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan kepada orang awam yang memberikan kerjasama membantu pihak polis menyelesaikan kes dalam masa singkat.

Terdahulu, Yahaya menerusi kenyataan akhbar meminta individu yang merakam gambar kereta tertera vest polis menghalang lalu lintas untuk tampil bagi membantu siasatan.

Imej kereta jenis Proton Saga berwarna hitam dipercayai milik penjawat awam itu tular di Twitter pada Isnin selepas diparkir secara berlapis hingga menyukarkan pengguna jalan raya lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!