'UMNO perlu buat pembetulan, buka ruang tanding 2 jawatan tertinggi'- KJ

KJ dalam siaran di TikTok rasmi beliau pada Selasa
KJ dalam siaran di TikTok rasmi beliau pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO perlu mengambil tindakan pembetulan (corrective measure) dengan melaksanakan semula pemilihan jawatan bagi Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perlembagaan UMNO sendiri telah menetapkan bahawa jawatan-jawatan utama termasuk Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali.

Ujar beliau, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun lalu itu tidak menyatakan dengan jelas kesalahan parti berkenaan.

“Maka tularlah surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kepada Setiausaha Agong, Ahmad Maslan bertarikh 2 Mac daripada Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad. Saya tak pasti surat ini tulen atau tidak tetapi sebagai mantan Menteri, surat itu nampak sah dan ori.

“Dalam surat tersebut, bos RoS yang mengawal selia semua pertubuhan termasuk parti politik di Malaysia dengan jelas menulis berdasarkan semakan pada maklumat dan dokumentasi yang dikemukakan bersama surat UMNO bertarikh 27 Januari, 28 Februari, dan 14 Februari 2023, jabatan (RoS) ini telah mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agong UMNO 2022 tersebut adalah tidak teratur, serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

“Justeru itu dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada RoS di bawah Akta Pertubuhan 1996 (Akta 832) maka, keputusan usul tambahan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2022, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan parti yang akan datang adalah tidak sah,” katanya dalam siaran di TikTok rasmi beliau pada Selasa.

Pada Selasa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Sebelum ini, usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin.

Susulan daripada itu, dua ahli UMNO pada 20 Januari lalu menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 itu.

Ulas bekas Menteri Kesihatan itu, surat tersebut menyatakan bahawa jawatan-jawatan utama termasuk Presiden dan Timbalan Presiden tidak boleh dikecualikan dari pertandingan.

Menurutnya, ia juga bermakna bahawa usul yang menghalang supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan itu tidak sah.

“Maknanya UMNO, kau dah buat silap, sila perbetulkan. Buka pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden untuk dipertandingkan. Habis cerita.

“Jadi ibu pejabat dan barisan ‘apologist’ kepada Presiden UMNO hendak kata apa lagi? Ahli UMNO dan perwakilan telah dinafikan hak mereka untuk memilih Presiden dan Timbalan Presiden,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!