PM saran ASEAN timbang langkah berkesan selesai krisis Myanmar

Anwar berucap pada majlis penutup Pemukiman Kementerian Luar dan Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar berucap pada majlis penutup Pemukiman Kementerian Luar dan Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan ASEAN supaya mempertimbangkan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, memandangkan konflik itu turut memberi kesan kepada negara lain di rantau ini, termasuk Malaysia.

Bercakap pada sesi interaksi dengan 106 ketua perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara, di sini pada Selasa, Anwar berkata, beliau pernah menyuarakan isu ini kepada rakan sejawatannya di ASEAN.

Beliau berkata, krisis di Myanmar telah menyebabkan kebanjiran pelarian yang melarikan diri dari negara itu, menyaksikan Malaysia kini menerima kira-kira 200,000 pelarian Rohingya.

"Pada setiap sesi pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand dan Singapura, Presiden Filipina dan Indonesia, saya menegaskan ASEAN mesti terus terbabit, ya, tetapi kemudian turut memikirkan kaedah lain yang efektif bagi menyelesaikan perkara ini kerana jika tidak, kita turut terpalit dengan kekejaman, bukan saja di Myanmar tetapi juga kita," katanya

Anwar (tengah) melambaikan tangan kepada para wakil kedutaan Malaysia di luar negara pada majlis Penutup Pemukiman Kementerian Luar dan Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar (tengah) melambaikan tangan kepada para wakil kedutaan Malaysia di luar negara pada majlis Penutup Pemukiman Kementerian Luar dan Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama

Anwar berkata, isu pelarian menjadi bertambah parah dengan keengganan junta tentera Myanmar untuk berunding dan menghormati negara jiran ASEAN.

Beliau berkata, naratif lama mengenai penglibatan membina, sudah tidak relevan lagi kerana ASEAN telah melaksanakan perkara sama sejak empat dekad lalu dan badan serantau 10 anggota itu tidak wajar mengabaikan isu itu hanya kerana dasar tidak campur tangan.

"Ya, tiada campur tangan (dasar), saya tidak sarankan kita harus campur tangan...tetapi ia telah menyebabkan kita mengalami kesukaran ekonomi dan kesan politik. Oleh itu, kita tidak boleh untuk menghiraukannya," kata beliau.

Sambil melindungi kepentingan Malaysia, Anwar berkata, Malaysia perlu mengambil pendirian dalam isu ini dan mempertahankannya.

"Apa relevannya dengan Madani? Madani adalah satu usaha untuk memastikan kita berjaya sebagai sebuah negara, aman, tetapi juga mampu menyumbang kepada kemanusiaan. Jadi kita kena mengambil pendirian," katanya

Konsep Madani diperkenalkan Perdana Menteri pada Januari yang berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Mengenai pegawai diplomatik, Anwar berkata, memandangkan cabaran antarabangsa boleh berlaku secara spontan dan serentak, Malaysia memerlukan profesional diplomatik yang cekap untuk membolehkan mereka mampu memahami, berurusan dan menasihati kerajaan dengan sewajarnya.

Beliau turut memuji inisiatif Wisma Putra dalam melibatkan diplomat kanan atau yang telah bersara untuk melatih dan memberi pendedahan yang diperlukan kepada diplomat muda.

"Banyak usaha pembelajaran diplomatik yang boleh menjadikan mereka layak secara profesional, tanpa menafikan hakikat bahawa usaha diplomatik kita pada umumnya cemerlang berbanding kebanyakan negara membangun," kata Anwar.

Bertemakan 'Diplomasi dalam Dunia Globalisasi dari Lensa Malaysia Madani', sesi interaksi itu merupakan penglibatan pertama Perdana Menteri dengan ketua perwakilan diplomatik Malaysia yang melibatkan duta besar, pesuruhjaya tinggi, wakil tetap, konsul jeneral dan kuasa usaha sementara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!