Barang tiruan kualiti tinggi pasaran pelancong dirampas

Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan antara rampasan barang tiruan dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur Ahad lalu.
Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan antara rampasan barang tiruan dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur Ahad lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barang tiruan berkualiti tinggi yang dijual di Jalan Petaling di sini dengan mensasarkan pembeli dalam kalangan pelancong asing dibongkar dalam serbuan pada Ahad lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, Ops Putra dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertindak merampas pelbagai barang tiruan bernilai RM570,000.

Menurutnya, sebanyak 2,662 unit pelbagai barang terdiri daripada beg tangan, dompet, kasut dan jam pelbagai jenama dirampas.

"KPDN menyerbu tujuh stor yang dijadikan tempat penyimpanan barang-barang yang disyaki tiruan kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah.

"Serbuan ini turut menahan dua lelaki tempatan yang mengaku sebagai pemilik stor berkenaan," katanya pada Selasa.

Ariffin berkata, siasatan mendapati semua barangan ini diperoleh dari luar negara bagi tujuan penjualan kepada pelancong asing.

Katanya, barang tiruan berkualiti tinggi ini dijual dengan harga RM500 sehingga RM4,000 setiap unit.

"Siasatan juga mendapati jam tangan tiruan itu dijual dengan harga RM750 sehingga RM4,000," ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, bagi tahun ini sebanyak 25 kes direkodkan dengan sitaan barangan sebanyak 24,537 unit yang bernilai RM1.2 juta manakala jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 4.0 adalah seramai 13 individu.

"KPDN Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada. Peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman yang berat seperti mana yang ditetapkan oleh undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!