Kerajaan Perpaduan akan bertahan sehingga tamat penggal - Anwar

Anwar ketika berucap pada majlis penutup Pemukiman Kementerian Luar dan Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika berucap pada majlis penutup Pemukiman Kementerian Luar dan Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Secara Maya di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan dapat terus bertahan sehingga tamat penggal pentadbirannya.

Berucap di hadapan 100 pegawai diplomatik di sini pada Selasa, Anwar jelas kelihatan langsung tidak terganggu dengan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Ahadi Awang mengenai kejatuhan kerajaan semasa.

"Biar apa jua yang dikatakan oleh Presiden Pas itu, saya penuh yakin bahawa kerajaan semasa ini akan dapat bertahan sehingga tamat penggalnya,” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata tidak ada pihak yang dapat menyekat rancangan Perikatan Nasional (PN) untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, dan mengatakan bahawa politik adalah dinamik, dengan tindakan demikian dianggap sebagai perkara biasa dalam sebuah negara demokratik.

Sementara itu Anwar berkata, dalam usaha mengembalikan kegemilangan negara, seluruh rakyat Malaysia termasuk pegawai kerajaan, bukan sahaja perlu menjunjung tadbir urus yang baik, tapi juga perlu bersedia untuk membuat pembaharuan.

"Saya sedang menghantar isyarat jelas kepada seluruh negara, bahawa kita perlu melakar haluan baharu. Kita perlu melakukan ini, dan menerima pembaharuan, yang sememangnya amat diperlukan bagi menyelamatkan negara ini daripada kekusutan yang dialami.

"Ini bukan soal pilihan, ini perkara penting, dan amat penting dari segi moral," katanya.

Anwar seterusnya menggesa ketua-ketua perwakilan diplomatik untuk melakukan yang terbaik demi negara, dan adalah penting bagi pegawai serta diplomat Malaysia di luar negara mempamerkan contoh terbaik mengenai apa yang dimaksudkan sebagai pemimpin berwibawa.

"Mengapa kita berkhidmat dan memelihara prinsip-prinsip tadbir urus baik, dengan nilai dan etika menjadi amat penting?

"(Kerana) Ia menetapkan keutamaan untuk berkhidmat kepada negara, bermakna anda mempunyai kewajipan untuk menggalakkan orang ramai datang sebagai pelancong dan juga pelabur, untuk membawa cahaya dan harapan kepada rakyat Malaysia," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!