Terkejut melihat kelibat gajah pada jarak 30 meter

Gajah yang diikat kaki oleh Perhilitan bagi tujuan pemindahan ke habitat asalnya.
Gajah yang diikat kaki oleh Perhilitan bagi tujuan pemindahan ke habitat asalnya.
A
A
A

KUANTAN - Kelibat seekor gajah tunggal jantan dalam hutan kecil berhampiran Taman Pandan Perumahan Damai di sini, mengejutkan hampir 500 penduduk di sekitar taman perumahan itu.

Video dan gambar gajah berkenaan berjaya dirakam penduduk, Mohd Shahidan Shafee,35, dalam kejadian kira-kira 5 petang, Isnin, seterusnya dikongsikan di dalam kumpulan taman perumahan itu melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, kelibat gajah terbabit disedari selepas dikejutkan dengan bunyi ranting kayu yang patah seakan-akan dipijak sesuatu di dalam hutan kecil tidak jauh dari rumahnya.

Penduduk di Taman Perumahan Pandan Damai mengambil kesempatan untuk melihat gajah yang berada di hutan kecil berhampiran taman perumahan mereka yang sudah diikat kaki oleh Perhilitan Pahang.
Penduduk di Taman Perumahan Pandan Damai mengambil kesempatan untuk melihat gajah yang berada di hutan kecil berhampiran taman perumahan mereka yang sudah diikat kaki oleh Perhilitan Pahang.

"Mulanya saya ingat tapir, sebab haiwan liar itu sering berkeliaran di kawasan taman perumahan ini. Tapi bila keluar (rumah), ia bukan tapir sebaliknya gajah. Saya terkejut bila melihat gajah bergading panjang dan terus memanggil isteri serta anak untuk mereka melihat haiwan tersebut.

"Kali pertama saya tengok gajah liar pada jarak 30 meter dan haiwan itu sedang bermandi pasir dalam keadaan tenang serta jinak," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan gajah di Taman Perumahan Pandan Damai di Jalan Pintasan Kuantan- Pelabuhan di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan penularan satu video di laman sosial Facebook berhubung kehadiran gajah liar terbabit.

Difahamkan gajah berkenaan sudah berada di kawasan terbabit kira-kira seminggu lalu berdasarkan keadaan tanah sekitar haiwan itu ditemui.

Dia yang berkerja sebagai kontraktor memberitahu, kemungkinan gajah tersebut terpisah dari kawanannya dan kemudian tersebut memasuki belukar berhampiran taman perumahan ini.

"Saya tidak tahu gajah itu datang daripada hutan mana, dan kemungkinan haiwan itu melalui Sungai Pandan sebelum tiba di sini.

"Setakat ini, saya hanya melihat seekor sahaja, tapi tidak pastilah kalau ada kawanan gajah lain di hutan kecil berhampiran perumahan Pandan Damai ini," ujar bapa kepada empat anak itu.

Mohd Shahidan yang menetap hampir empat tahun di taman perumahan itu berkata, selepas melihat kelibat gajah terbabit, isterinya, Nur Aziera Hassan,32, segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang bagi tindakan selanjutnya.

Yuzairi Azani Yusof,39, pula memberitahu, terus ke kawasan berhampiran hutan kecil itu sebaik sahaja melihat gambar dan video yang dikongsikan Mohd Shahidan.

"Bila saya datang gajah ini masih berada di kawasan hutan kecil tu dalam keadaan tenang. Saiz gajah ini saya anggarkan sebesar lori dan gadingnya pula panjang.

Penduduk melihat gajah di hutan kecil berhampiran Taman Perumahan Pandan Damai pada Selasa.
Penduduk melihat gajah di hutan kecil berhampiran Taman Perumahan Pandan Damai pada Selasa.

"Jadi, kami penduduk hanya datang lihat dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengancamnya, sebelum pihak berwajib datang untuk tindakan selanjutnya," jelasnya yang menetap ditaman tersebut hampir tujuh tahun.

Dia yang bekerja sendiri berkata, kehadiran haiwan terbabit tetap menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat, walaupun ia pertama kali muncul di kawasan penempatan.

Jelasnya, walaupun tiada sebarang serangan dan ancaman, namun tidak berjaga perlu diambil oleh penduduk setempat.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Daud memaklumkan gajah itu sudah berjaya ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTC) dengan menembak ubat pelali dan mengikatnya bagi tujuan dipindahkan ke habitat asal.

Katanya, gajah memiliki sepasang gading itu dikatakan datang daripada Bukit Goh dan menjadikan Hutan Simpan Cerul, di sini sebagai kawasan habitat semulajadi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima gajah menyusur sepanjang laluan sebaliknya tidak bertindak melintas Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sebelum berada dalam hutan kecil Taman Perumahan Pandan Damai.

"Kita percaya gajah terbabit tersesat selepas terpisah dari kawananya. Kita tidak menyangka haiwan itu muncul di situ (taman perumahan).

Gajah sudah berada di hutan kecil terbabit kira-kira seminggu lalu berdasarkan keadaan tanah sekitar haiwan itu ditemui.
Gajah sudah berada di hutan kecil terbabit kira-kira seminggu lalu berdasarkan keadaan tanah sekitar haiwan itu ditemui.

"Sebelum ini pernah berlaku kes gajah muncul di kawasan perumahan Nelayan Sungai Puteri, Rompin, haiwan berkenaan keluar daripada Hutan Simpan Menchali untuk mencari makan," katanya.

Beliau menjelaskan, operasi memindahkan haiwan terbabit akan dilakukan dalam masa terdekat dan tugas berkenaan akan dilakukan oleh kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah PKGK Lanchang, Temerloh.

Rozidan menambah, buat masa ini anggota UTG Perhilitan Pahang akan memantau gajah jantan berkenaan setiap hari sebelum operasi memindahkan dilakukan dengan bantuan dua gajah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!