Berani Semuka platform terbaik kongsi misi dan visi

MOHD SHAHAR, ARMAND AZHA
MOHD SHAHAR, ARMAND AZHA
A
A
A

SHAH ALAM - Program Berani Semuka anjuran Sinar Harian merupakan platform terbaik untuk calon Ketua Pemuda UMNO berkongsi dan berhujah mengenai misi serta visi mereka.

Calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, melalui program ini beliau percaya setiap idea yang dilontarkan akan sampai kepada perwakilan.

Katanya, seorang pemimpin perlu berani berhujah serta memberi penerangan kepada akar umbi mengenai hala tuju mereka sekiranya diberi mandat.

“Apabila kita tawar diri untuk bertanding, kita perlu berani untuk berhadapan dengan mana-mana pihak. Lagipun ini adalah pertandingan antara keluarga.

“Tanggungjawab itu amat penting, kita tidak boleh beri janji kosong. Bukan lagi masa untuk sebarkan retorik politik tetapi politik kerja,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Selain Armand Azha, tiga calon lain yang bertanding jawatan nombor satu sayap pergerakan pemuda parti itu ialah Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Meor Hassan Mat Ali.

Armand Azha dan Mohd Shahar akan tampil menerusi program Berani Semuka pada 10 Mac ini.

Tambah Armad Azha, beliau bercadang untuk mewujudkan meja bulat kepimpinan pemuda sekiranya memenangi jawatan itu pada pemilihan parti nanti.

Ujarnya, meja bulat itu melibatkan semua pemimpin muda yang berbakat, bijak dan berkemampuan tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.

“Mereka akan duduk berbincang memikirkan hala tuju negara selain mencari jalan penyelesaian mengenai kos sara hidup serta peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat.

“Sekarang negara memerlukan perubahan dengan mengamalkan politik matang. Saya tidak mahu tengok lagi politik kebencian, penghinaan dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Armand Azha.

Menurutnya, program Berani Semuka akan menjadi platform untuk kedua-dua calon berbahas tentang bagaimana kesatuan pemikiran Pemuda UMNO perlu diterjemahkan.

“Pemilihan akan berlaku dan perwakilan yang akan mengundi. Apa yang paling penting adalah kita kena bersemuka dan menyatakan idea masing-masing.

“Mungkin idea saya baik. Kalau dia menang, dia boleh ambil idea saya kerana ini satu kesatuan pemikiran yang kita nak.

“Kita bukan nak bersemuka semata-mata hendak berdebat tapi nak nyatakan iltizam dan komitmen melalui berbahas dan musyawarah,” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mula diperkenalkan buat pertama kali pada 22 Mei 2012, Debat Sinar Harian mempertaruhkan dua nama besar iaitu Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertemu Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berhujah tentang isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan hala tuju pendidikan tinggi negara.

Sejak itu, program ini mula mendapat sambutan hangat kerana konsepnya yang berbeza dan disertai ramai pemimpin muda.

Bagaimanapun seiring dengan peredaran masa, selepas lapan tahun, Debat Sinar Harian membuat sedikit perubahan dan pada 2020, dikenali sebagai Berani Semuka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!