‘Ikat dulu dua jawatan tertinggi untuk stabilkan UMNO’
SHAH ALAM - UMNO akan terus kukuh dan kuat meskipun dua jawatan tertinggi dalam parti itu tidak dipertandingkan.
Bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, dua jawatan itu perlu 'diikat' sementara supaya yang lain dapat diurus dengan sempurna.
Menurutnya, perwakilan UMNO bukan sengaja untuk membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
“Apa yang sudah diputuskan dalam PAU baru-baru ini adalah bukti bahawa ahli-ahli UMNO bersedia untuk membuat perubahan.
“Malah hasil dapatan Sinar Harian juga membuktikan 80 peratus ingin UMNO membuat perubahan secara total.
“Kalau dilihat kedudukan UMNO sekarang, semua pihak pemain parti sendiri dan juga bukan pemain parti yang berada di luar memang mahu melihat UMNO membuat perubahan dan jangan lihat perubahan itu dari sudut negatif semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 387 bertajuk ‘Pemilihan UMNO: Proses Bersihkan Parti?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Selasa.
Turut menjadi panel ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Ahmad Masrizal menjelaskan, UMNO berada dalam satu situasi krisis ketika ini yang memerlukan pemimpin membuat keputusan luar daripada kotak.
“Buat keputusan di luar kebiasaan, kita tidak boleh buat keputusan secara normal kerana berada parti berada di dalam krisis.
“Krisisnya ialah di mana UMNO ini mengalami prestasi tidak berapa cantik pada PRU15, prestasinya sangat merudum tetapi bukan kerana isu kepimpinan kerana banyak faktor lain yang menyebabkan ia jatuh,” katanya.
Menurutnya, keputusan di luar kebiasaan itu juga telah pun diluluskan oleh PAU.
“Bila berlaku keadaan itu kita harus faham, perwakilan yang hadir pada PAU merasakan bahawasanya apabila berlaku pemilihan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden, akan berlaku keadaan yang lebih teruk daripada sekarang.
“Sebab parti tak stabil perlu dibuat sesuatu untuk mereka dapat ‘digam’ sekejap paling tidak pun dua konteks pemimpin teratas," katanya.
Ahmad Masrizal berkata, UMNO adalah parti yang lama iaitu sudah hampir 77 tahun dan dalam tempoh itu, hanya empat kali dibuat pemilihan presiden dan kesemuanya memberi implikasi cukup ketara dalam keadaan UMNO iaitu berlaku perpecahan.
“Tunku Abdul Rahman lawan Ahmad Fuad Hassan pada akhir tahun 1951, akhirnya bila Ahmad Fuad kalah dia tubuhkan Pas.
“Begitu juga Tun Hussein Onn ditentang oleh Sulaiman Palestin akhirnya berlaku gelojak dalam UMNO.
"Tun Mahathir Mohamed dilawan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan akhirnya Ku Li keluar tubuh Semangat 46,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!