Suhaili dilantik Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan

Suhaili
Suhaili
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan penyandangnya Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas Suhaili dalam bidang politik dan kerajaan.

“Pelantikan Datuk Suhaili itu dapat memberi semangat baharu dalam mengatur gerak akar umbi Bersatu khususnya di kawasan bandar.

“PN yakin pelantikan beliau dapat memperkukuhkan stuktur organisasi, dengan tumpuan diperbaharui bagi memajukan kesejahteraan dan kemakmuran ahli dan rakyat,”katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mahathir berkata, rekod kejayaannya yang mengagumkan, kebolehan kepimpinan dan dedikasinya untuk mempromosikan perpaduan dan kemajuan menjadikan beliau calon yang ideal untuk jawatan ini.

“Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara), termasuk Pengarah Eksekutif Mara Corp dan ahli majlis pengurusan Mara Corp dari tahun 2020 hingga 2022 termasuk ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Labuan sejak 2018.

“Dengan kelayakan dan kebolehan kepimpinan yang mengagumkan, beliau dijangka memimpin Bersatu Wilayah Persekutuan ke arah kejayaan dan bakal memberi impak positif kepada kehidupan rakyat dan ahli,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!