Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat

Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kluang guna bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar membeli bekalan makanan selepas terjejas banjir sejak 27 Februari lalu. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kluang guna bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar membeli bekalan makanan selepas terjejas banjir sejak 27 Februari lalu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir meningkat walaupun keadaan cuaca semakin baik di Johor ketika ini apabila mencatatkan 40,141 mangsa melibatkan 11,468 keluarga dari lapan daerah dilaporkan berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani bagaimanapun berkata, tidak ada PPS baharu dibuka setakat ini bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.

“Setakat 8 pagi Rabu, sebanyak lapan daerah melibatkan Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat, Muar dan Tangkak masih terjejas.

“Daerah Batu Pahat merekodkan jumlah mangsa paling ramai setakat ini dengan 27,774 mangsa ditempatkan di 91 PPS, diikuti Muar (4,080 mangsa ditempatkan di 21 PPS), Tangkak (2,536 mangsa di 23 PPS), Segamat (2,034 mangsa di 33 PPS), Kluang (1,310 mangsa di 12 PPS), Mersing (1,162 mangsa di enam PPS), Kota Tinggi (1,138 mangsa di 13 PPS) dan Pontian (107 mangsa di tiga PPS),” katanya.

Sementara itu, tiada amaran hujan lebat berterusan termasuk amaran ribut petir di Johor dikeluarkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), setakat jam 8 pagi Rabu.

Menurut Azmi, situasi berkenaan dilihat seiring dengan keadaan cuaca cerah di kesemua daerah ketika ini.

“Setakat ini tiada sebarang amaran hujan lebat berterusan dan juga amaran ribut petir dikeluarkan oleh pihak MetMalaysia.

“Cuaca juga dilaporkan cerah namun paras air sungai di tiga daerah melibatkan Segamat, Muar dan Batu Pahat, dilaporkan berada pada aras bahaya.

“Selain itu beberapa jalan di tujuh daerah melibatkan Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Mersing, Muar dan Segamat ditutup untuk semua kenderaan kecuali Jalan Johor Bahru – Seremban (FT001) di Sungai Temehel yang dibuka untuk semua kenderaan kecuali motosikal ketika ini,” katanya.

Untuk rekod, setakat 8 pagi Rabu, sebanyak enam kematian dilaporkan dengan lima daripadanya lemas akibat banjir sementara satu lagi disebabkan sakit tua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!