Sambutan Hari Wanita curi tumpuan Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini mencuri tumpuan di Dewan Rakyat apabila rata-rata ahli Parlimen menzahirkan ucapan 'Selamat Hari Wanita' pada sesi pagi persidangan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika bangkit sebelum menjawab soalan pada sesi jawab lisan sempat menyampaikan ucapan khusus kepada seluruh wanita.
Beliau turut memetik hadis Rasullullah SAW mengenai layanan baik kepada golongan tersebut,
“Yang terbaik dalam kalangan kamu adalah yang berbuat baik kepada golongan wanita, berlaku baik, hormat dan ihsan. Mafhum hadis,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Turut menyampaikan ucapan adalah Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), Roy Angau Anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa).
Persidangan Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan sesi pertanyaan bagi jawab lisan dan sesi penggulungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!