Geng samun rumah guru diberkas

Polis turut merampas sebuah motosikal milik suspek. Gambar kanan: Polis turut merampas seutas jam tangan milik mangsa.
Polis turut merampas sebuah motosikal milik suspek. Gambar kanan: Polis turut merampas seutas jam tangan milik mangsa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberkas tiga lelaki secara berasingan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul, di sini, pada 25 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentuh, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada jam 6.07 pagi.

"Seorang wanita berusia 45 tahun yang bekerja sebagai guru mendakwa dia ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan menggunakan wayar oleh suspek.

"Suspek melarikan sebuah telefon bimbit, seutas jam tangan, kad bank dan juga wang tunai bernilai RM6,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Eng Lai berkata, pihaknya berjaya memberkas tiga suspek berusia 26 hingga 35 tahun di Damansara dan Petaling Jaya, Selangor, pada jam 12.30 malam, Ahad lalu.

"Susulan tangkapan itu, kita merampas seutas jam tangan milik mangsa, dua buah telefon bimbit pelbagai jenama, serangkai anak kunci, sebuah motosikal dan beberapa helai pakaian yang digunakan oleh suspek ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah melakukan samun dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni.

"Kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau, mereka direman empat hari bermula Ahad hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Eng Lai berkata, ekoran daripada tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan empat kes di Kuala Lumpur dan satu lagi kes di Selangor.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sebarang kes jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!