Cuba cari kelainan, penjual tawar aiskrim perisa cengkerik
SEBUAH kedai aiskrim di Jerman dilaporkan menvariasikan menunya dengan menawarkan aiskrim perisa cengkerik.
Memetik laporan AP, apa yang membuatkan aiskrim itu lebih ‘luar biasa’ adalah apabila seekor cengkerik kering diletakkan di atasnya.
Konfeksi unik ini dijual di kedai Thomas Micolino yang terletak di bandar Rottenburg am Neckar di selatan Jerman.
Di negara itu, Micolino pernah mencipta menu 'pelik' dan lari dari kebiasaan yang mana penduduk Jerman selalunya memilih perisa strawberi, coklat, pisang dan vanila.
Terdahulu, Micolino pernah menjual sosej hati dan aiskrim keju Gorgonzola termasuk aiskrim bersalut emas pada harga AS$4.25 (RM19) bagi setiap sudu.
"Saya seorang yang memiliki sifat sangat ingin tahu dan ingin mencuba segala-galanya.
"Saya pernah mencuba banyak makanan sebelum ini, termasuk banyak perkara pelik, dan cengkerik adalah sesuatu yang saya masih mahu cuba dalam bentuk aiskrim,” kata Thomas.
Tambahnya, penjualan aiskrim itu tidak menjadi masalah memandangkan peraturan Kesatuan Eropah (EU) membenarkan penggunaan serangga dalam makanan.
Di bawah akta ini, cengkerik boleh dibekukan, dikeringkan atau digunakan sebagai serbuk.
EU sudah membenarkan belalang migrasi dan larva kumbang tepung sebagai bahan tambahan makanan.
Thomas menjelaskan, aiskrim Micolino diperbuat daripada tepung kriket, krim pekat, ekstrak vanila dan madu termasuk cengkerik kering. Ia mempunyai “rasa istimewa yang mengejutkan”.
Namun begitu, Thomas tidak menafikan wujud segelintir pihak yang tidak setuju malah kecewa atas penjualan aiskrim serangga, namun ada pembeli yang ingin tahu menyukai rasa baharu itu.
“Mereka yang mencubanya sangat bersemangat. Saya mempunyai pelanggan yang datang ke sini setiap hari dan membeli satu sudu.” katanya.
Salah seorang pelanggannya, Konstantin Dick, memberikan ulasan positif dan memaklumkan aiskrim perisa cengkerik ini sangat lazat dan boleh dimakan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!