Bayar RM6,000 hingga RM7,000 untuk masuk ke Malaysia

Antara kereta yang disita pihak imigresen dalam Op Gelombang 2 di Kelantan.
Antara kereta yang disita pihak imigresen dalam Op Gelombang 2 di Kelantan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dengan menahan seramai 15 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas Ops Gelombang 2 di Kelantan pada Isnin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee berkata, operasi yang bermula pada jam 3.15 pagi itu disertai enam pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan dibantu oleh pegawai-pegawai JIM Kelantan.

"Operasi itu adalah rentetan hasil kejayaan terdahulu yang dijalankan pada Oktober tahun lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan di kawasan Jeli dan Gua Musang, pasukan operasi menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 39 hingga 60 tahun yang bertindak sebagai ‘transporter’ bagi sindiket tersebut.

"Kita turut menangkap 15 PATI berusia 24 hingga 54 tahun yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan tiga wanita warga Indonesia," katanya.

Beliau berkata, PATI itu dipercayai baharu tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga buah kenderaan ke rumah penampungan.

"Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket ini adalah masuk melalui laluan udara ke Thailand dari Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia -Thailand melalui Sungai Golok," katanya.

Menurutnya, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia.

"Kesemua PATI ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah.

"Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks," katanya.

Antara individu dan PATI yang ditahan pihak imigresen dalam Op Gelombang 2 di Kelantan.
Antara individu dan PATI yang ditahan pihak imigresen dalam Op Gelombang 2 di Kelantan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ‘transporter’ pula menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap PATI yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan yang ditetapkan.

"Semasa serbuan dilakukan terdapat ‘transporter ‘dan PATI yang cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif serta memberi ancaman secara fizikal, namun tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei tahun lalu dan menyasarkan PATI berasal dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

"Berdasarkan anggaran seramai 160 PATI sebulan yang dibawa masuk oleh sindiket ini, kerajaan dianggarkan telah mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing," ujarnya.

Beliau berkata, kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Manakala tiga lelaki tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.

"Kesemua tiga buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM100,000 akan disita untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!