Sambutan dos penggalak masih kurang memuaskan - Dr Zaliha
KUALA LUMPUR - Sambutan orang ramai terhadap pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 masih kurang memuaskan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun pengambilan dos penggalak menunjukkan peningkatan di seluruh negara berikutan kempen yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).
"... dos penggalak pertama itu kita ada peningkatan daripada 49.9 peratus kepada lebih 50 peratus sekarang dan dos penggalak kedua daripada 1.9 peratus kini kita telah dapat 2.2 peratus dalam beberapa minggu lepas,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zaliha menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanyakan sama ada kerajaan berpuas hati dengan sambutan rakyat terhadap dos penggalak.
Beliau berkata, bagi menggalakkan pengambilan dos penggalak, KKM telah mengambil langkah antaranya membenarkan tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera tanpa terikat dengan waktu dan tempat serta menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara walk-in atau jumpa terus kepada golongan berisiko tinggi.
Sementara itu, beliau memaklumkan trend jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh sebulan pertama 2023 adalah dalam keadaan stabil, dengan pelaporan harian kes Covid-19 dalam negara sejak sebulan lepas kekal dalam lingkungan 500 kes dan menunjukkan trend penurunan kepada 226 kes semalam.
"Begitu juga, purata bilangan harian kes Covid-19 yang baru dikesan dalam tempoh tujuh hari adalah pada julat 187 hingga 511 kes, sepanjang Januari 2023.
"Seterusnya, nilai Rt (kebolehjangkitan) kekal di bawah 1.0 sejak Minggu Epidemiologi (ME) 46/2022 (13 hingga 19 November 2022) dan pada ME 4/2023 (22 hingga 28 Januari 2023) nilai Rt adalah 0.8,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!