Penduduk Parit Yaani dakwa jalan makin terhakis akibat banjir

Beberapa kenderaan cuba untuk meredah banjir ketika tinjauan di Jalan Utama Yong Peng ke Muar hari ini.- Foto Bernama
Beberapa kenderaan cuba untuk meredah banjir ketika tinjauan di Jalan Utama Yong Peng ke Muar hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Penduduk sekitar Parit Yaani di sini, mendakwa jalan utama Yong Peng ke Muar semakin terhakis susulan air banjir yang melimpahi laluan berkenaan sejak Sabtu lepas.

Seorang penduduk, Hamrizal Hamdan, 40, berkata, jalan itu yang dibina di atas Sungai Terusan sering dinaiki air terutama ketika hujan lebat berterusan dan limpahan air daripada Sungai Segamat.

"Ini adalah laluan utama penduduk setempat dan sejak dua hari lepas (bermula Ahad) beberapa kenderaan terbalik kerana jalan makin terhakis di sebelah kanan.

"Kita bimbang sekiranya keadaan ini berlarutan ditambah dengan arus yang makin deras, akan berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hamrizal yang bekerja sebagai tukang paip berkata jalan itu dibuka semula kepada kenderaan berat pada Ahad tetapi berlaku kejadian lori membawa muatan ayam terbalik pada semalam manakala pagi ini sebuah lagi lori terbalik sehingga memerlukan bantuan kren untuk menarik kenderaan itu.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Pak Mat, 65, berkata, jalan tersebut rendah dan berharap kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya menaik taraf laluan itu bagi kemudahan pengguna.

"Saya penduduk asal di sini dan setiap kali banjir, pasti akan berlaku kejadian sama. Kerajaan perlu tinggikan jalan ini kerana ia dibina di atas terusan," katanya.

Kejadian banjir di kawasan Parit Yaani bermula pada Jumaat lepas dengan beberapa rumah dan laluan dinaiki air sehingga menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Tinjauan Bernama mendapati jalan tersebut dilimpahi air dan arus air deras serta kenderaan terpaksa 'beratur' untuk melalui jalan itu kerana hanya satu laluan sahaja yang boleh dilalui serta dikawal oleh penduduk setempat.

Sebelum itu, tinjauan Bernama mendapati berlaku kesesakan lalu lintas dari Bandar Putera Indah menghala Klinik Desa Parit Bilal, di sini sejauh kira-kira lapan kilometer susulan beberapa laluan alternatif masih dinaiki air.

Keadaan cuaca di Batu Pahat setakat 1 tengah hari ini mendung dan sebahagian rumah sekitar Parit Yaani, Parit Haji Yusof dan Bukit Ciku di sini masih digenangi air. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!