Jururawat, isteri didakwa curi barang kemas

Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret pada Rabu.
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan mencuri barang kemas seorang individu bulan lalu.

Ahmad Fitri Abdul Nasir, 26, dan isterinya, Sofiah Abdul Rafiq, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri barang kemas berjumlah RM12,000 milik Kamisah Ali, 64, yang disimpan di dalam bilik tidur di tingkat bawah rumah di Vista Kirana, Ayer Keroh di sini kira-kira jam 10 pagi pada 17 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya mesti dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Difahamkan, tertuduh yang bekerja sebagai jururawat lelaki berada di rumah mangsa untuk menjaga suami mangsa yang merupakan pesakitnya.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain dalam rayuan meminta jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan Ahmad Fitri bekerja sebagai jururawat dan perlu menyara empat orang anak selain isterinya tidak bekerja.

Pendakwaan dikendalikan J Banusha menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan Ahmad Fitri dan isterinya diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 18 April depan untuk serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!