Kelantan tak benar berpolitik di masjid

Mohamad Shukri (tengah) menunjukkan buku pada Majlis Pelancaran Buku Peringatan 150 Tahun Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada Rabu.
Mohamad Shukri (tengah) menunjukkan buku pada Majlis Pelancaran Buku Peringatan 150 Tahun Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan sudah lama memberi kepercayaan kepada golongan profesional untuk mentadbir masjid bagi mengelakkan rumah ibadah menjadi 'gelanggang' politik.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kempen parti politik sudah sekian lama tidak berlaku sejak tahun 1915.

Menurut beliau, ada cubaan untuk menjadikan masjid sebagai lokasi berpolitik tetapi gagal kerana kerajaan negeri sentiasa melakukan pemantauan.

"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang ditubuhkan pada 1915 tidak pernah membenarkan masjid sebagai tempat propaganda politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Peringatan 150 Tahun Masjid Muhammadi di sini pada Rabu.

Mohamad Shukri memberitahu, hal berkaitan keagamaan perlu diserahkan kepada golongan yang pakar dalam bidang itu.

"Politik memang tidak boleh diasingkan daripada Islam tetapi parti politik itu perlu diasingkan dari masjid," katanya.

Beliau turut memaklumkan penceramah perlu membuat permohonan untuk mendapatkan tauliah daripada (Maik) sebelum menggunakan masjid atau mengadakan ceramah agama bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Tambah beliau, (Maik) berperanan sebagai institusi yang mengawal dan menjaga keamanan daripada diganggu gugat oleh keadaan yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam masjid.

"Pihak pengurusan masjid perlu memastikan hanya penceramah memiliki tauliah dibenarkan menyampaikan ceramah seperti yang termaktub melalui Seksyen 91 Enakmen Maik.

"Setakat ini belum ada individu yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan di negeri ini.

"Populariti juga bukan jaminan penceramah dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid," katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, masjid perlu ditadbir dengan lebih profesional dan sistematik supaya berupaya menjadi pusat aktiviti masyarakat setempat, sumber ilmu, pembangunan sumber ekonomi dan platform penyatuan serta perpaduan ummah.

Baginda tidak berkenan masjid dijadikan medan politik dan propaganda politik kepartian serta perlu bebas daripada sebarang pengaruh dan elemen politik kepartian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!