Suami isteri miliki dua anak OKU sebak dapat rumah baharu

Syamsiah (kanan) dan suami, Mansor di samping dua anak mereka ketika majlis perasmian dan penyerahan rumah di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong di Marang.
Syamsiah (kanan) dan suami, Mansor di samping dua anak mereka ketika majlis perasmian dan penyerahan rumah di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong di Marang.
A
A
A

MARANG - Pasangan suami isteri yang memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU) menitiskan air mata dan bersyukur setelah penantian selama dua tahun untuk mendiami rumah sendiri menjadi kenyataan.

Syamsiah Osman, 43 dan suami, Mansor Said, 45 dari Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, di sini merupakan penerima bantuan pembinaan rumah di bawah Projek Baiti Jannati 2021 dengan usaha sama Yayasan DiRaja Sultan Sultan Mizan (YDSM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut Syamsiah, rumah yang dibina itu dilengkapi dengan dua buah bilik di mana sebuah bilik diubah suai dengan saiz lebih besar berserta kemudahan untuk penjagaan dan memandikan dua anaknya yang menghidap cerebral palsy.

"Sebelum ini saya tinggal sementara di rumah ibu angkat suami berdekatan dengan kawasan ini.

"Selepas permohonan untuk bantuan mendirikan rumah di atas tanah milik keluarga diluluskan dan rumah ini siap, kami berpindah ke sini.

"Saya bersyukur sangat sebab kelengkapan yang ada memudahkan saya dan suami untuk menguruskan dua anak ini kerana mereka berdua memerlukan penjagaan rapi setiap masa," ujarnya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian projek itu di sini, pada Rabu.

Syamsiah
Syamsiah

Syamsiah merupakan suri rumah manakala suaminya bekerja di sebuah kedai kereta di samping menjalankan perniagaan sampingan secara kecil-kecilan.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Daniel Hakimi, 15; Muhammad Daniel Mikael Zikiir, 11 dan Muhammad Raihan Muazzam, 4.

Bagaimanapun, anak kedua pasangan itu iaitu Muhammad Daniel Mikael Zikiir yang juga menghidap cerebral palsy meninggal dunia tahun lalu.

Kedua-dua anaknya kini menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Syamsiah, mereka juga menerima bantuan susu serta lampin pakai buang dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Selain itu, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM300 untuk anak sulungnya dan RM500 bagi penjaga.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, bantuan pembinaan rumah itu merupakan salah satu daripada program di bawah peruntukan wang zakat yang disalurkan kepada golongan memerlukan yang benar-benar layak.

Katanya, kira-kira 30 buah rumah telah dibina menerusi projek tersebut sejak 2021.

"Setiap rumah dibina menelan kos sebanyak RM50,000 termasuk alatan dan kemudahan asas yang diperlukan oleh penerima bantuan seperti mesin basuh dan peti sejuk.

"Memandangkan kos barangan telah meningkat dan kita juga tidak mahu membebankan penerima, kita jangka untuk pembinaan akan datang kita akan tambah peruntukan kepada RM60,000 bagi sebuah rumah termasuk perkakasan asas di dalam rumah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!