Seludup ayam guna perahu di Sungai Golok
![Pihak Maqis menerima kes penyeludupan membabitkan ayam hidup.Foto: Maqis](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/03/08/2119487.jpg)
TUMPAT - 17 ekor ayam hidup dirampas selepas dipercayai diseludup masuk menggunakan perahu melalui Sungai Golok di Pengkalan Kubor pada Isnin lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan, Mohd Ariwadi Salleh berkata, pihaknya menerima serahan kes rampasan itu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di tebing sungai berkenaan pada jam 8 malam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 17 ayam hidup dianggarkan bernilai RM1,700 dirampas dipercayai dibawa masuk dari Thailand.
“Pengemudi perahu berjaya lolos dan ayam-ayam ditinggalkan di dalam kotak di tebung sungai,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, ayam-ayam tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan dan dirampas kerana tidak mempunyai dokumen dagangan sah.
![Ayam-ayam hidup yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand. Foto: Maqis](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/03/08/2119488.jpg)
“Perbuatan mengimport ayam hidup adalah satu kesalahan dan Maqis bertanggungjawab menjamin bekalan serta keselamatan makanan yang diimport.
“Isu-isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak atau penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!