Segerakan pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Suresh Kumar (dua dari kanan) bersama Gabungan PHSKLU menyampaikan surat tuntutan pewartaan semula HSKLU di Bangunan SUK pada Rabu.
Suresh Kumar (dua dari kanan) bersama Gabungan PHSKLU menyampaikan surat tuntutan pewartaan semula HSKLU di Bangunan SUK pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) meminta kerajaan negeri Selangor menyegerakan proses pewartaan semula kawasan tersebut.

Jurucakap PHSKLU, B Suresh Kumar berkata, sehingga kini kawasan seluas 930.93 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang telah dinyah warta pada 12 Ogos 2021 masih belum diwartakan.

Menurutnya perkara tersebut telah tertangguh hampir 18 bulan dan tidak menampakkan tindakan proaktif ke arah itu.

"Tiada penjelasan atas kelewatan proses ini, atau pun garis masa yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri walaupun isu ini menggugat masa depan pelbagai pihak berkepentingan dan pemegang taruh dalam kalangan rakyat," katanya selepas menyampaikan surat tuntutan pewartaan semula HSKLU di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Rabu.

Beliau berkata, Gabungan PHSKLU yang terdiri 16 badan bukan kerajaan (NGO) telah membangkitkan isu tersebut bukan sahaja melalui media sosial tetapi turut menyerahkan surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Namun katanya, tiada jawapan yang jelas daripada kerajaan negeri berhubung status pewartaan hutan simpan tersebut.

"Gabungan PHSKLU sepakat dengan menuntut MB (Menteri Besar) segera mewartakan semula HSKLU sebelum 31 Mei 2023.

"Rakyat marhaen dan komuniti tempatan kian terjejas dengan bencana iklim dan masalah ekonomi.

"Tidak wajar rakyat dibalas tuba dengan (kerajaan negeri) menyebelahi golongan kapitalis dan pelabur swasta setelah berjanji HSKLU akan diwartakan semula sejak Disember 2021," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, cadangan penyahwartaan HSKLU bagi pelaksanaan projek pembangunan bercampur mendapat bantahan pelbagai pihak kerana akan memusnahkan alam.

Susulan itu, Mac tahun lepas, Amirudin memaklumkan kerajaan Selangor berkemungkinan mewartakan semula hampir keseluruhan atau 97 peratus HSKLU.

Amirudin berkata, proses undang-undang sedang berlangsung dan proses mewartakan semula HSKLU itu akan bermula dalam tempoh terdekat sebelum Hari Raya Aidilfitri iaitu pada minggu pertama Mei tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!