Pemilihan UMNO: Bekas ketua bahagian tanding semula jawatan

Ishsam, Samsudin
Ishsam, Samsudin
A
A
A

TAPAH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan menawarkan diri bertanding semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Tapah pada pemilihan kali ini.

Beliau dipilih sebagai ketua bahagian sejak 2004 sebelum tewas pada pemilihan tahun 2018 kepada penyandang sekarang, Ishsam Shahruddin.

Samsudin berkata, kesediaannya bertanding semula kali ini bukan atas faktor jawatan, tetapi menyahut saranan ahli parti untuk membantu mengukuhkan UMNO.

"Galakan daripada ahli-ahli di cawangan cukup bagus, mereka mengharapkan saya bertanding untuk bantu pulihkan semangat UMNO.

"Jadi walaupun hasrat saya sudah mahu bersara, saya sahut juga cabaran, pengalaman yang ada saya gunakan untuk perbetulkan balik kepimpinan sedia ada," katanya kepada Sinar Harian.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu berdepan dengan Ishsam yang bertanding mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tapah.

Sementara itu, Ishsam menghormati keputusan Samsudin untuk bertanding jawatan berkenaan dan menganggap sebagai satu proses demokrasi dalam parti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tapah itu berkata, masing-masing mempunyai harapan terhadap masa depan parti, namun diharap pertembungan dalam pemilihan parti tidak sampai memutuskan silaturahim kalangan ahli.

"Pada pilihan raya lalu, UMNO, MCA dan MIC bekerja bersungguh-sungguh hingga dapat mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Tapah dan DUN Ayer Kuning, malah DUN Chenderiang berjaya ditawan semula.

"Itu hadiah cukup besar dapat diberikan saya selaku ketua bahagian dan pengerusi BN di sini," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Hishsam yang pertama kali bertanding di DUN Ayer Kuning menang dengan majoriti 2,213 undi.

BN turut menang di kerusi Parlimen Tapah menerusi Datuk Seri M Saravanan daripada MIC dan DUN Chenderiang, Choong Shin Heng (MCA).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!