Mafia korporat: Polis buka dua kertas siasatan tahun lepas
Datuk Noorsiah Saaduddin
A
A
A
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan pada Rabu mengesahkan PDRM menerima laporan berhubung kes itu pada 25 Mei tahun lepas.
"Laporan itu menyatakan wujud salah laku dan penyelewengan kewangan melibatkan wang berjumlah RM30.7 juta dalam pengurusan syarikat Caely (M) Sdn Bhd (Anak Syarikat Milik Caely Holdings Berhad) dan susulan itu satu lagi laporan polis telah dibuat oleh polis pada 21 September tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah oleh ejen dan Seksyen 201 kanun sama iaitu kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai suatu kesalahan yang dilakukan atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu bagi mengelakkan pesalah daripada hukuman.
Katanya, kes telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 27 Februari lepas untuk arahan dan keputusan lanjut.
Beberapa hari lepas, sebuah portal tular menerusi media sosial menerbitkan artikel berhubung sekumpulan individu melakukan cubaan merampas syarikat senarai awam Caely Holdings dan sebuah syarikat lain.
Kemelut perebutan mengakibatkan kejatuhan harga saham malah ia mendakwa turut membabitkan agensi penguatkuasaan, penyiasatan, penahanan dan pembekuan akaun ahli lembaga pengarah syarikat itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!