'Kalau nak tunggu pemilik kelab, sampai bila-bila rumput lembu'
SETIAP pasukan kelab perlu mengambil tawaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menukar rumput stadium kepada jenis rumput Zeon Zoysia.
Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu hantaran di Instagram agak kecewa dengan sikap sesetengah pemilik kelab di negara ini yang tidak mementingkan kualiti padang.
"Tanya YB Hannah Yeoh cadangan dan idea siapa? Kalau nak tunggu owner atau presiden kelab, sampai bila-bila rumput lembu. Boleh belanja berpuluh juta setiap tahun tetapi padang RM900,000 tak boleh buat.
"Baru-baru ini saya ada beri cadangan kepada seorang pemilik kelab. Saya cakap buat masa menunggu stadium baru siap tukar padang stadium yang pakai sekarang. Sekurang-kurangnya apabila stadium baru siap, anda mempunyai dua padang berkualiti.
"Dia jawab FAM kena bantu. Sejak bila badan induk yang bertanggungjawab atas infrastruktur kelab kita? Tetapi inilah akibatnya apabila ada pemilik dan presiden yang tak minat bola tetapi mengguna bola sepak demi agenda lain. Mindset," katanya.
Pada Selasa, KBS menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tawaran itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama Exco setiap negeri yang diadakan Januari lepas dan kini pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.
Dalam pada itu, Hannah dalam satu hantaran balas di Instagram mengakui ia adalah idea Tunku Ismail yang memberikan cadangan agar setiap pasukan menukar rumput stadium.
"Betul. Ini idea DYAM Tuanku @hrhcrownprinceofjohor untuk mencadangkan lebih banyak stadium di seluruh Malaysia mempunyai padang berkualiti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!