Sewa kondominium untuk simpan, bungkus dadah
GEORGETOWN - Tindakan sepasang suami isteri menyewa sebuah kondominium di Gelugor dengan kadar sewaan RM1,300 sebulan untuk menyimpan dan membungkus bekalan dadah terbongkar apabila ditahan polis.
Pasangan tersebut yang berusia 42 dan 45 tahun itu ditahan di tepi jalan di Gelugor pada jam 12 tengah hari, 5 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis merampas satu peket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 310 gram bernilai RM31,000 pada isteri suspek.
Menurutnya, susulan penahanan pasangan itu, polis menyerbu sebuah kondominium pada jam 2.10 petang hari sama dan merampas tujuh peket plastik berisi 6,489 gram bernilai RM233,604, sembilan ketulan mampat ganja seberat 6,288 gram dan lima peket daun kering dadah ganja (856 gram).
"Kesemua berat dadah ganja yang dirampas adalah 7,144 gram bernilai RM17,860. Selain itu, kita juga menyita barang kemas yang dianggarkan bernilai RM12,800 dan kenderaan bernilai RM11,000.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM306,264. Kedua-dua suspek direman bermula 6 hingga 12 Mac ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Rabu.
Soffian menambah, pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak itu aktif mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu untuk pasaran tempatan.
"Kegiatan pengedaran dadah ini pada mulanya dijalankan oleh si suami, namun setelah dia menghadapi masalah kesihatan antaranya masalah jantung, buah pinggang dan diabetes, kegiatan haram tersebut diambil alih oleh si isteri.
"Mereka menaiki motosikal bersama-sama dalam setiap kegiatan penjualan dadah kepada pelanggan. Mereka tidak tinggal di kondominium tersebut sebaliknya tinggal di rumah kampung milik mereka di Batu Uban," katanya.
Beliau berkata, kedua-duanya mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan dadah.
"Ujian saringan air kencing suspek lelaki positif dadah jenis syabu dan ganja, manakala suspek wanita negatif dadah.
"Kesemua dadah tersebut boleh dibekalkan kepada 46,743 penagih sekiranya terlepas ke pasaran. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!