KPU kaji punca petugas Pemilu meninggal dunia

Kebanyakan kakitangan Pemilu didakwa bekerja tanpa henti hingga mengalami keletihan melampau.
Kebanyakan kakitangan Pemilu didakwa bekerja tanpa henti hingga mengalami keletihan melampau.
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Satu penilaian akan dibuat terhadap proses Pemilihan Umum Indonesia 2019 (Pemilu 2019) susulan kematian anggota polis dan kakitangan yang bertugas di beberapa pusat pengundian.

Pesuruhjaya Pemilihan Umum Indonesia (KPU), Viryan Aziz berkata, 54 kakitangan jawatankuasa di pusat pengundian dilaporkan meninggal dunia ketika dan selepas Pemilu berlangsung.

"Seramai 32 lagi jatuh sakit. Kami akan menilai perkara itu, Tugas mereka sangat sukar dan mungkin ia berpunca kerana terlalu penat," katanya.Selain itu, 10 anggota polis meninggal dunia selepas jatuh sakit dan keletihan melampau ketika bertugas dalam pilihan raya.

Sementara itu, Pengerusi KPU di wilayah Jawa Barat, Rifqi Almubarok, proses kiraan undi dan pengisian dokumen rasmi mengambil masa yang lama.

“Berdasarkan pemantauan kami, semua tugas itu dapat diselesaikan pada jam 5 pagi (waktu tempatan) sehari selepas pengundian dijalankan. Tidak ada waktu rehat sepanjang proses tersebut,” katanya.

Pemilu pada kali ini adalah unik kerana proses tersebut dilakukan dalam tempoh lapan jam di seluruh negara melibatkan lebih 192 juta pengundi.

KPU bakal umumkan keputusan rasmi Pemilu pada 22 Mei depan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!