Terima hakikat MH370, penumpang tidak ditemukan - Tun M
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan penumpang-penumpang di dalamnya sembilan tahun lalu adalah perkara yang perlu diterima.
Dalam kenyataan di Facebook sempena ulang tahun kehilangan MH370 pada Rabu, beliau berkata, tiada siapa pun yang ingin kejadian itu berlaku, namun harus menerima bahawa pesawat terbabit hilang bersama penumpang dan anak kapal.
"Kita harus menerima bahawa perkara ini telah berlaku. Kita tidak mahu ia berlaku tetapi ia telah berlaku dan kita harus menerima bahawa pesawat ini telah hilang bersama penumpang dan anak kapal.
"Kemungkinan besar mereka tidak lagi bernyawa kerana apabila pesawat itu diambil alih oleh orang lain dan diterbangkan ke destinasi lain, nasib penumpang pastinya akan menjadi seperti pesawat itu.
"Apa yang berlaku kepada kapal terbang, berlaku kepada penumpang,"katanya.
Bagaimanapun Dr Mahathir mendoakan dan berharap agar negara meneruskan usaha pencarian MH370.
"Tetapi jika kita tidak dapat mencari pesawat selama bertahun-tahun, kita harus menerima bahawa kita telah kehilangan mereka, Itu adalah sesuatu yang perlu kita terima, walaupun sukar," katanya.
Tambahnya lagi, sehingga kini tiada sebarang bukti tentang apa yang berlaku terhadap MH370.
"Mungkin ada cakap-cakap tentang kapal terbang itu terhempas ke dalam laut. Tetapi kami tidak mempunyai bukti nyata untuk menunjukkan bahawa mereka terhempas ke dalam laut.
"Kita juga tidak mempunyai sebarang bukti bahawa mereka mendarat di mana-mana atau terhempas di darat," katanya.
Perkara itu ujarnya, amat meresahkan keluarga mangsa kerana tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi kepada keluarga mereka.
Pesawat MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014 dilapor hilang daripada skrin radar dua jam selepas berlepas.
Susulan itu, operasi mencari secara besar-besar digerakkan yang turut mendapat bantuan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!