Bina telaga tiub kuasa tinggi

Husam (tiga, kiri) mendengar permasalahan pesawah di bendang Kampung Wakaf, semalam.
Husam (tiga, kiri) mendengar permasalahan pesawah di bendang Kampung Wakaf, semalam.
A
A
A

PASIR PUTEH - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan membina telaga tiub berkuasa tinggi bagi mengatasi masalah bendang padi kekurangan air.

Pengerusinya, Senator Datuk Husam Musa berkata, mesyuarat pasukan khas kemarau yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat akan memutuskan lokasi bersesuaian untuk pembinaan telaga tiub tersebut.

Menurutnya, telaga tiub itu melibatkan kedalaman 100 meter itu akan digerakkan dengan panel solar.

"Jika ia berjaya, kita bukan sahaja dapat membekalkan air secukupnya, malah padi menerima air mineral yang lebih terjamin kebersihannya.

"Kos telaga tiub ini masih dalam perbincangan dan ia dikhususkan untuk bendang jauh dari pam Kemubu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Bendang Kampung Wakaf, Permatang Rambai, Padang Pak Amat dan Bukit Abal.

Kawasan penanaman di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan Cherang Rotan itu terjejas teruk akibat kemarau.

Sementara itu, ketika ditanya masalah kumpulan penanam padi beras wangi yang gagal mengilangkan hasil tanaman masing-masing, beliau menjelaskan, ia melibatkan masalah teknikal berkaitan kilang berikutan kontraktor tidak menyerahkan projek untuk diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kilang akan beroperasi sebaik mendapat kelulusan majlis daerah dan menjangkakan ia dapat beroperasi selewat-lewatnya musim depan.

"Kita juga berbincang di peringkat kementerian untuk turut memberikan subsidi kepada penanam padi beras wangi ini," katanya.

Bukan itu sahaja katanya, harga lantai padi beras wangi juga lebih tinggi berbanding beras biasa.

"Penting kepada kita untuk mengeluarkan beras wangi bagi mengurangkan import," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!