'Tak sabar nak balik, nak puasa di rumah' - Mangsa banjir

Mangsa banjir di PPS Kampung Bentong menikmati juadah yang disediakan.
Mangsa banjir di PPS Kampung Bentong menikmati juadah yang disediakan.
A
A
A

KLUANG - Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Bentong di sini, menyuarakan hasrat untuk menyambut Ramadan di rumah.

Tinjauan Sinar Harian di PPS berkenaan pada Rabu mendapati mangsa banjir sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah susulan situasi semasa yang menyaksikan air banjir mulai surut selain keadaan cuaca yang bertambah baik ketika ini.

Malah, ramai yang teruja apabila dimaklumkan PPS berkenaan bakal ditutup mulai esok (Khamis).

Menurut seorang penduduk, Saedah Ebak, 61, dia sudah tidak sabar untuk pulang ke rumahnya yang sudah ditinggalkan selama seminggu.

Saedah
Saedah

Ujarnya, selama tempoh berkenaan sudah pasti rumahnya dikotori dengan pelbagai sampah sarap yang dibawa arus banjir.

“Hari ini kalau ikut dah masuk lapan hari di sini, rumah pun mesti kotor dengan sampah masa banjir hari tu.

“Sekarang ini pun ramai yang balik ke rumah, cuci rumah. Masing-masing tengah mengemaslah tu.

“Tapi saya seronoklah sebab rasanya esok dah boleh balik. Dah dekat nak puasa ni, kalau boleh tak nak (puasa) kat sini, biarlah di rumah sendiri,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mazni Nasir, 57, juga mengakui sudah tidak sabar untuk pulang ke rumahnya esok.

Mazni
Mazni

Katanya, pelbagai perancangan sudah difikirkan bagi membersihkan rumahnya yang telah ditinggalkan selama seminggu sebagai persiapan menyambut Ramadan.

“Saya duduk sini (PPS) dah hampir seminggu, esok (Khamis) dah dibenarkan balik ke rumah. Tak lama lagi nak puasa, takkan nak duduk di sini pula kan?

“Kalau boleh nak berpuasa di rumahlah, sebab itu saya dah pelan macam mana untuk bersihkan rumah, hiaskan rumah untuk sambut puasa.

“Itu yang sebaiknya, bukan nak sambut raya saja kena kemas, bersihkan rumah, nak sambut puasa pun samalah,” katanya.

Sementara itu bagi Khatijah Dol Basar, 67, ini kali kedua dia berada di PPS dalam tempoh dua minggu.

Khatijah
Khatijah

Bagaimanapun katanya, dia berterima kasih kerana menerima layanan yang baik daripada kesemua petugas selama berada di situ sejak lapan hari lalu.

“Saya rasa semua okey, layanan pun baik, makan minum semua okey. Cuma sekarang dah dekat puasa, lepas tu tak lama lagi dah raya.

“Hari tu banjir, saya pun duduk di sini kemudian banjir yang kedua pula, lagi dalam dan lagi teruk, tapi sekarang dengarnya dah okey (banjir).

“Kalau boleh memang nak baliklah ke rumah, nak sambut puasa dan raya di rumah...tak nak di sini (PPS),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!