Tiga fokus utama Rafizi baiki punca masalah ekonomi

Rafizi ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
Rafizi ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga fokus utama dilaksanakan Kementerian Ekonomi untuk menyelesaikan dan memperbaiki punca kepada masalah ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sekiranya punca itu dapat diselesaikan dengan baik, ia merupakan ‘ubat’ yang mampu membaiki ekonomi negara.

Menurutnya, antara fokusnya adalah tata kelola ekonomi yang lebih baik seperti melawan gejala rasuah.

“Sebab itu keputusan Ahli Parlimen Tambun yang dikatakan Ahli Parlimen Putrajaya bukan 'game changer', itulah ubatnya. Kalau perketatkan tata kelola, sudah pasti sumber kewangan dapat disalurkan kepada projek-projek rakyat.

“Kedua, berbelanja dengan berhemah dengan mengurangkan keperluan berhutang. Apabila kurang berhutang dan dapat jalankan projek rakyat dengan baik, itu akan memberi faktor kepada tata kelola yang ketiga.

“Ia adalah memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk beri bantuan terus kepada rakyat terutama golongan memerlukan seperti B40 dan miskin tegar,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Rabu.

Menurut beliau, antara faktor menyebabkan ekonomi negara bermasalah ialah perbelanjaan kerajaan lepas yang tidak berhemah, gelojoh berhutang sehingga mencecah RM1.5 trilion.

Tambahnya, faktor lain adalah mengambil jalan mudah untuk menggunakan wang Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada setiap tahun, pelaksanaan tergendala atau tergelincir daripada yang dirancang serta ketirisan dan penyelewengan dana rakyat.

“Akibatnya, sumber kerajaan yang sepatutnya digunakan untuk membaiki keadaan ekonomi negara tidak dapat disalurkan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!