[VIDEO] Kenyataan Abdul Hadi: Pemuda Amanah, AMK buat laporan polis
KUALA LUMPUR - Pemuda Pakatan Harapan membuat laporan polis berhubung kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Perikatan Nasional sedang berusaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, pihaknya beranggapan ia salah satu bukti atau tindakan tidak bertanggungjawab serta bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tanpa segan silu menyatakan bahawa usahanya sedang berjalan dan mengakui mereka hendak menjatuhkan kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada Rabu.
Fadhli Umar berkata menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dengan segera terhadap Abdul Hadi atau sesiapa sahaja terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan yang ditubuhkan secara sah.
"Tindakan Abdul Hadi itu boleh menganggu ketenteraman awam," katanya.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Izuan Kasim berkata, kenyataan Abdul Hadi itu tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
"Kita sebagai ahli politik perlu 'bermain' politik dalam kalangan kita, tidak perlu melibatkan Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.
Pada Isnin, Abdul Hadi dilapor mengakui wujud usaha tersebut dan mendakwa gabungan itu berhak berbuat demikian kerana ia dibolehkan dan berlandaskan kepada prinsip demokrasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!