Saksi tidak pernah lihat Siti Bainun dera Bella
KUALA LUMPUR - Rakan kepada Pengasas Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, bahawa dia tidak pernah melihat Siti Bainun Ahd Razali mendera remaja sindrom Down, dikenali Bella.
Saksi ketiga pembelaan, Noor Marliana Ramlee, 28, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad Noor dalam prosiding bela diri Siti Bainun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, dua tahun lalu.
Pegawai tadbir ini juga berkata tidak setuju, selepas dicadangkan bahawa dia mengetahui dan melihat tertuduh menggunakan picagari, cawan Ikea dan Starbucks untuk menyimbah air panas pada kanak-kanak itu.
Nor Azizah: Saya cadangkan, kamu tahu tertuduh telah mengambil air panas dari penapis air Cuckoo untuk menyimbah Bella.
Noor Marliana: Tidak setuju.
Nor Azizah: Saya cadangkan, kamu tahu Siti Bainun arahkan Yasmin (bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood, 20) untuk mandikan Bella di tandas menggunakan air panas dari pemanas air itu.
Noor Marliana: Tidak setuju.
Nor Azizah: Kamu tahu dan lihat Siti Bainun tonyoh cili di mata Bella, setuju?
Noor Marliana: Tidak setuju.
Wanita ini turut menafikan keterangannya di mahkamah adalah semata-mata untuk menyelamatkan Siti Bainun daripada tuduhan kes jenayah.
Dalam prosiding pada 14 April tahun lalu, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa, Siti Bainun memberi Bella makan 20 cili padi, dalam masa beberapa kali seminggu.
Yasmin juga berkata, Bella dimarahi dan diugut dengan air panas, jika ingkar arahan tertuduh.
Sementara itu, saksi pembelaan keempat, jiran Siti Bainun, Nor Aidil Farhab Johaizad, 26, berkata, saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin, 40, pernah masuk ke kondominium itu pada 24 Jun 2021.
"Saya bawa Kak Zu (Zurianty) selepas dia cakap, Siti Bainun beri kebenaran untuk ke rumah itu.
“Saya pelik, setibanya di sana, Kak Zu manangis sambil memegang telefon namun tidak masuk ke rumah,” katanya.
Sementara itu, saksi keenam pembelaan, rakan Siti Bainun, Engku Farah Hanis Abdul Jalil, 32, berkata, dia pernah menjaga Bella sebanyak dua kali.
Dia yang bekerja sebagai pereka grafik, kali pertama adalah pada Mac atau April 2021 manakala kali kedua, ketika sambutan Aidilfitri, tahun sama.
“Saya tidak nampak penghuni-penghuni Rumah Bonda melakukan kesalahan sebagai mana yang dipertuduhkan terhadap Siti Bainun.
“Saya cuma perasan, Bella rapat dengan seorang penghuninya, dikenali sebagai Ayda dan dia takut dengan seorang lagi penghuni dikenali Balqkis, sebab dia suka buli remaja sindrom Down itu,” katanya.
Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.
Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.
Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!