Lawatan Sultan Ibrahim ubati kesedihan mangsa banjir
JOHOR BAHRU - Keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke pusat pemindahan sementara (PPS) mengubati kesedihan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan sementara di pusat berkenaan.
Menerusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu, baginda berangkat ke PPS Dewan Raya Taman Kota Jaya, Kota Tinggi yang menempatkan 347 mangsa daripada 91 keluarga.
Orang ramai termasuk warga emas serta kanak-kanak kecil teruja melihat keberangkatan Sultan Ibrahim dengan diiringi Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim menziarahi setiap keluarga yang ditempatkan di dalam khemah di PPS berkenaan dengan bertanyakan khabar serta memberikan kata-kata semangat.
Orang ramai yang berada di PPS turut tidak melepaskan peluang bersalaman dan bergambar bersama baginda.
Baginda kemudian berangkat ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya yang menempatkan 282 mangsa banjir melibatkan 76 keluarga.
Keberangkatan baginda disambut mesra dengan senyuman serta perasaan gembira mereka yang berada di PPS selama lebih lapan hari selepas kediaman masing-masing dinaiki air.
Turut mengiringi Sultan Ibrahim ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani.
Baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi kepada setiap ketua keluarga serta sumbangan kit penjagaan diri menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Malaysia Retail Chain Association (MRCA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!