KWSP, KPWKM lancar i-Sayang
SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan inisiatif i-Sayang, kemudahan yang membolehkan suami untuk memindahkan dua peratus daripada caruman mereka ke dalam akaun isteri.
Inisiatif tersebut dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada Rabu.
Majlis turut dihadiri Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemudahan tersebut adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasakan hak dan menjaga kebajikan wanita serta menerapkan nilai kekeluargaan selaras dengan konsep Malaysia Madani berteraskan ciri-ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
“Kemudahan i-Sayang ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial yang formal, untuk menabung demi masa depan persaraan mereka.
“Dengan membolehkan suami untuk mencarum secara sukarela sebanyak dua peratus caruman bulanan, ia memberikan peluang kepada isteri mereka untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang di samping mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti sepertimana dinikmati oleh ahli KWSP,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Permohonan i-Sayang boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli), Self-Service Terminal (SST) KWSP, atau di mana-mana cawangan seluruh negara.
Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!