Pengasuh guna buaian kerana 'Baby Syifaa' tak berhenti menangis
SEREMBAN - Pengasuh pusat jagaan yang menempatkan Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa' memberitahu Mahkamah Koroner Seremban pada Rabu yang buaian terpaksa digunakan untuk menidurkan bayi berusia 15 bulan itu kerana dia tidak berhenti menangis.
Khairulnisa Ahmad Damunhuri, 38, yang merupakan saksi ke-19 prosiding inkues kematian bayi itu berkata, dia perlu cuba tidurkan Syifaa kerana tidak mahu dua lagi anak asuhannya terganggu.
Jelasnya, buaian itu digunakan sekali sekala sahaja apabila keadaan mendesak dan disimpan di dalam almari.
Selain itu, Khairulnisa turut memberitahu taska itu mula beroperasi pada Disember 2020 dan menempatkan seramai 15 bayi dan kanak-kanak.
"Bawah jagaan saya ada tiga orang dan bawah jagaan adik saya pula ada 12 orang. Tetapi jika ada waktu senggang, saya akan bantu uruskan sama-sama.
"Hanya kami berdua sebagai pengasuh kerana pengasuh ketiga berhenti pada Januari untuk sambung belajar. Sepatutnya pengasuh baharu masuk kerja bulan Mac tetapi tidak dapat teruskan khidmat kerana kejadian yang berlaku," katanya.
Malah Khairulnisa mengakui di hadapan Koroner Datin Surita Budin yang taska itu beroperasi tanpa lesen Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pada masa sama, dia juga tidak mempunyai sebarang tauliah atau sijil Kursus Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak Permata yang diiktiraf oleh JKM.
"Tapi saya ada pengalaman menjadi pengasuh di rumah. Pada awalnya hanya ada seorang ibu menghantar tiga anak dan kemudian bertambah.
"Selepas adik saya tamat belajar, saya sarankan kami buka taska supaya ada tempat lebih selesa dan selamat untuk menjaga anak-anak ini," katanya.
Pada prosiding hari keempat yang bersambung jam 2.30 petang itu, Khairulnisa turut menunjukkan demonstrasi cara dia memasang buaian dan bagaimana keadaan Syifaa ketika ditemui.
"Saya tengok Syifaa berada dalam keadaan berdiri di dalam buaian dengan keadaan kepala dia tertunduk keluar dari buaian.
"Saya menjerit terkejut dan memanggil Syifaa, ketika mengangkatnya dia macam mengambil nafas tetapi keadaannya sudah terkulai," katanya.
Khairulnisa berkata, walaupun tidak mempunyai pengetahuan asas tentang bantuan pernafasan tetapi dia cuba melakukannya untuk menyelamatkan bayi tersebut dengan cara menekan dadanya beberapa kali.
Pada prosiding itu, keluarga Syifaa diwakili peguam Gaithri Thomas dan Hafiz Norkhan manakala peguam pemerhati pihak pengasuh, S Kavitha.
Mahkamah menetapkan prosiding inkues bersambung pada 8, 21 dan 22 Mac 2023 untuk mendengar keterangan tujuh lagi saksi.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang bayi perempuan ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Pada 30 Mac 2022, bapa bayi itu mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!