Terima pelbagai panggilan tawar kerja

Mohd Shahrul menolak motosikalnya yang pancit sambil anaknya duduk di hadapan. - Foto FB Komuniti Kepala Batas. Gambar kanan, kisah Mohd Shahrul yang dimuat naik di laman Facebook Komuniti Kepala Batas.
Mohd Shahrul menolak motosikalnya yang pancit sambil anaknya duduk di hadapan. - Foto FB Komuniti Kepala Batas. Gambar kanan, kisah Mohd Shahrul yang dimuat naik di laman Facebook Komuniti Kepala Batas.
A
A
A

IPOH - Bapa kepada lapan anak yang menjadi tular selepas tayar motosikal ditunggangnya pancit membawa anak berumur 6 tahun untuk mencari pekerjaan di Pulau Pinang, memaklumkan dia menerima pelbagai tawaran kerja selepas insiden berkenaan.

Mohd Shahrul Abd Rahim, 45, berkata dia tidak menyangka begitu ramai masyarakat prihatin kejadian yang menimpanya pagi semalam dan terharu serta mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang diberikan.

Menurut Mohd Shahrul, ketika kejadian dia dalam perjalanan bersama salah seorang anaknya dari rumah mereka di Selekoh, Bagan Datuk menaiki motosikal bagi mencari pekerjaan di Pulau Pinang.

"Kami hidup bukan senang mana, jadi saya cuba mencari pekerjaan di Pulau Pinang dengan menaiki motosikal tak sangka masa atas jambatan tayar motosikal saya pancit dan kebetulan ada kemalangan di hadapan saya.

"Masa saya lalu ada hamba ALLAH ini tegur dan bertanya, dia amat prihatin tetapi saya tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana selagi boleh usaha saya usaha, tapi ternyata insan ini bersungguh membantu saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Mohd Shahrul yang bekerja kampung berkata, individu yang membantunya itu dikenali dengan nama Syed dan mengikutnya dari belakang memastikan keselamatan dia dan anaknya hingga tiba di bengkel motosikal.

"Selepas itu dia minta izin untuk berkongsi kisah saya. Sejak dari semalam saya menerima pelbagai panggilan malah ada yang menawarkan saya pekerjaan kebanyakannya sebagai pemandu seperti van kilang dan bas.

"Tapi saya tidak ada lesen, jadi saya terpaksa menolak tawaran berkenaan, secara jujurnya memang saya rasa terharu dengan keprihatinan rakyat kita membantu mereka yang susah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika dihubungi Mohd Shahrul turut memaklumkan dia dalam perjalanan ke Pulau Pinang menaiki motosikalnya untuk mencari pekerjaan dengan ditemani anaknya yang lain hari ini.

Kisah Mohd Shahrul tular selepas ia dimuat naik di dalam laman Facebook Komuniti Kepala Batas mengenai kegigihan beliau merantau mencari kerja menaiki motosikal dari Bagan Datuk ke Pulau Pinang.

Dia dikatakan menolak motosikalnya selepas tayar hadapannya pancit sejauh 10 kilometer sambil diekori oleh individu yang membantunya sebelum dia dibawa menikmati nasi kandar selepas tayarnya dibaiki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!