Empat maut, 23 cedera insiden kereta api di Mesir

Empat orang disahkan maut selepas kereta api penumpang tergelincir berhampiran Kaherah.
Empat orang disahkan maut selepas kereta api penumpang tergelincir berhampiran Kaherah.
A
A
A

KAHERAH - Empat orang disahkan maut selepas kereta api penumpang tergelincir berhampiran Kaherah, menurut Kementerian Kesihatan Mesir pada Rabu.

Sementara itu, 23 lagi cedera dalam kemalangan pada petang Selasa di bandar Qalyub, utara Kaherah.

Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kereta Api Mesir memaklumkan, kemalangan berlaku ketika kereta api itu dalam perjalanan dari Kaherah menuju ke bandar Delta Nil Menouf, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Pemandu didakwa gagal mematuhi isyarat arah semafor dan bertindak merempuh penghadang lalu menyebabkan lokomotif dan gerabak hadapan tergelincir, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Mesir menyaksikan beberapa tragedi membabitkan pengangkutan awam itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Mac 2021, dua kereta api penumpang bertembung di selatan Mesir, mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang.

Pada Februari 2019, sebuah lokomotif tanpa pemandu merempuh platform di stesen kereta api utama Kaherah, menyebabkan kebakaran hingga meragut 31 nyawa.

Insiden terburuk di Mesir dilaporkan berlaku pada 2002, apabila kereta api penumpang terbakar manakala lebih 360 orang maut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!