Status projek pembangunan utama Kelantan tergantung

Kelantan tertanya-tanya status projek pembangunan di negeri itu yang tiada perkembangan lanjut daripada kerajaan persekutuan. - Gambar hiasan
Kelantan tertanya-tanya status projek pembangunan di negeri itu yang tiada perkembangan lanjut daripada kerajaan persekutuan. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mendedahkan beberapa projek utama pembangunan Persekutuan di negeri ini berstatus tergantung berikutan tidak ada perkembangan lanjut daripada pihak Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, projek-projek pembangunan itu antaranya Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS), Kompleks Sukan Bukit Merbau, Jambatan Palekbang dan Pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR).

“Contohnya, projek yang belum dimulakan seperti Jambatan Palekbang dan IBS, setakat ini senyap begitu sahaja tetapi tidak ada sebarang kenyataan projek dibatalkan.

“Ada juga beberapa projek yang sepatutnya ada mesyuarat tetapi tidak dibuat menyebabkan kami tidak mengetahui tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Menurut Mohd Amar, sama bagi projek CSR yang sudah diluluskan sebelum ini dan dijadualkan siap pada tahun 2026 juga tidak diketahui status.

“Ada perbincangan untuk pakej-pakej CSR ini berjalan serentak sebelum ini tetapi pada masa itu juga bertukar kerajaan dan sekarang tertanya-tanya keputusannya.

“Bagi Kompleks Sukan Bukit Merbau, Kerajaan Persekutuan belum memulakan projek itu tetapi di peringkat negeri sudah membuat persiapan yang perlu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak kerajaan negeri akan meminta exco-exco berkaitan untuk menghubungi menteri-menteri bagi mendapatkan perkembangan terkini setiap projek berkenaan.

Perancangan pembangunan sebelum ini melibatkan kompleks sukan di Pasir Puteh meliputi enam komponen kemudahan termasuk stadium utama yang dilengkapi padang bola sepak dan trek olahraga dengan kapasiti 20,000 orang dan sepatutnya dijadualkan bermula Januari lalu.

Bagi CSR, pembinaan dari Kuala Krai ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 (LPT1) sepanjang 306.8 kilometer dengan kos RM7.3 bilion dijadual siap pada 2026.

Seterusnya, IBS seluas 81 hektar akan dibina di Sungai Bagan, Machang dengan peruntukan berjumlah RM74 juta dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!