Terguna duit syarikat, wanita buat laporan palsu konon dipukau
KULAI - Polis menahan seorang jurujual wanita yang dipercayai membuat laporan palsu berhubung dirinya yang kononnya menjadi mangsa pukau hingga menyebabkan kehilangan wang milik syarikat tempatnya bekerja.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, wanita itu ditahan ketika membuat laporan berhubung kehilangan wang tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kulai pada petang Rabu.
Katanya, wanita berkenaan ditahan selepas anggota bahagian risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kulai mendapati timbul keraguan dalam aduan yang dibuat.
“Wanita warga tempatan berusia 22 tahun itu datang membuat laporan polis sekitar 3.10 petang di IPD Kulai, pada Rabu.
“Dalam laporannya, wanita itu mengatakan dia dipukau oleh seorang warga emas yang tidak dikenali ketika melalui satu lorong tengah berhampiran tempatnya bekerja kira-kira 1.40 petang. Ketika itu dia keluar untuk memasukkan wang jualan milik syarikat berjumlah RM3,766.15 ke dalam bank.
“Wanita itu kemudian memberitahu, semasa sedar dia sedang terduduk di lorong berkenaan dan wang yang dibawanya telah tiada, lalu membuat laporan polis bahawa dia telah dipukau,” katanya.
Bagaimanapun katanya, wanita itu akhirnya mengaku telah membuat laporan palsu kerana telah menggunakan wang milik syarikat untuk kegunaan peribadi.
"Wanita berkenaan memberitahu, dia sebenarnya telah ditipu oleh scammer dan menggunakan wang milik syarikat untuk membuat pembayaran kepada scammer tersebut.
"Laporan polis itu dibuat kerana dia tidak mampu untuk menggantikan semula wang berkenaan selain ingin merujuk kepada pihak syarikat agar dapat menanggung ganti rugi kehilangan wang itu," katanya.
Beng Yeow berkata, wanita itu kini direman selama tiga hari mulai 8 Mac hingga 10 Mac untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!