Muhyiddin ke SPRM esok
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau diminta ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.
Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Muhyiddin turut menyangkal dakwaan beliau telah ditahan oleh agensi itu sewaktu berada di padang golf.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan keberadaannya di dalam beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bermula pada Jumaat.
“Esok (Khamis) saya diminta ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11 pagi. Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.
“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang akan bermula Jumaat ini,” katanya.
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengesahkan beliau dipanggil memberi keterangan kepada SPRM bukannya sebagai suspek.
Menurutnya, agensi penguatkuasaan itu memintanya memberikan penerangan berhubung program Jana Wibawa.
Sementara itu, pada 21 Februari, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.92 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Wan Saiful, 48, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Dalam pertuduhan pertama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta suapan sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur.
Wan Saiful dituduh meminta suapan itu daripada individu bernama Lian Tian Chuan, di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022.
Mengikut pertuduhan kedua, Wan Saiful dituduh menerima suapan berjumlah RM6.92 juta menerusi akaun syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd Bank CIMB cawangan Bukit Tungku, Taman Tunku di sini, 8 Julai 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!