AUKU: 'Pelbagai masalah timbul jika tubuh akta baharu'

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelbagai masalah akan timbul sekiranya kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menubuhkan akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya AUKU dimansuhkan, ia menyebabkan punca kuasa penubuhan dan tadbir urus 20 universiti awam terbatal.

“Kalau nak buat akta baharu, ianya perlu masukkan institusi guru, politeknik, institusi swasta dalam satu akta yang mungkin akan timbulkan banyak masalah kerana setiap institusi mendapat layanan yang berbeza-beza.

“Kita tidak ganti (AUKU) semata-mata akta ini sudah berumur. Akta ini diwujudkan bukan untuk menyekat pelajar,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambah beliau, berdasarkan struktur dan kandungan, AUKU adalah akta yang penting dan masih releven khususnya bagi penubuhan dan pentadbiran universiti.

Jelasnya, AUKU ialah punca kuasa yang menghubungkan akauntabiliti institut pengajian tinggi (IPT) kepada kerajaan dan masyarakat.

“Setakat ini, AUKU telah dipinda sebanyak tujuh kali. Dengan pindaan terakhir dilakukan pada tahun 2019,” katanya.

Dalam aspek kebebasan dan aktivisme politik pelajar, menurutnya, pindaan telah dilakukan pada tahun 2012 dan 2019 yang antara lain memberi kebebasan penuh kepada mahasiswa untuk berpolitik sama ada di dalam atau di luar kampus.

“Mahasiswa hari ini bebas untuk berpolitik malah tiada halangan untuk bertanding dalam pilihan raya. Malah, sebahagian besar universiti awam sudah mengendalikan sepenuhnya proses pilihan raya kampus oleh pelajar sendiri tanpa penglibatan pihak pentadbiran universiti,” katanya.

Tambah Mohamed Khaled, kementeriannya bersedia menerima pandangan dan penambahbaikan ke arah kebaikan institusi.

Jelasnya, KPT kini dalam proses meminda Seksyen 15 AUKU bagi membolehkan mahasiswa menguruskan sendiri urusan akaun dan kewangan mereka.

Selain itu, menurut beliau, KPT bersetuju untuk mengadakan satu sesi libat urus khusus berkenaan akta tersebut.

“Memandangkan AUKU adalah undang-undang libatkan kepentingan banyak pihak, semua pihak akan dilibatkan. Ia termasuk pentadbiran universiti, ahli akademik dan para penyelidik, wakil mahasiswa, kementerian, majlis profesor negara, akademi profesor negara, wakil ibu bapa, industri dan pihak lain.

“Kerana daripada 42 seksyen, hanya tujuh sahaja mengenai pelajar. Jadi, kalau ada isu mengenai AUKU, kita mesti libatkan semua pihak lain,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!