Penalti bantu Sri Pahang FC tundukkan Perak FC di Ipoh
SRI Pahang FC melangkah ke pusingan seterusnya selepas menundukkan Perak FC dalam saingan Piala FA ketika perlawanan pusingan pertama di Stadium Perak di sini pada Rabu.
Minit awal permainan menyaksikan pasukan pelawat lebih banyak mengasak kubu Perak FC sehingga memaksa hampir kesemua pemain bertahan di kubu sendiri.
Seawal minit ke-8, Sri Pahang FC mendapat peluang menjaringkan gol menerusi kapten pasukan, Sergio Aguero tetapi diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Bryan See.
Perak FC memperoleh peluang pada minit ke-14 menerusi hantaran Farris Izdiham Awang Kechik, namun gagal disambut rakan sepasukan untuk menghasilkan jaringan.
Berselang beberapa kemudian minit satu lagi peluang diperoleh melalui Christian Obiozor, namun tendangan lemahnya mudah disambut penjaga gawang Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan.
Peluang terbaik Perak FC hadir pada minit ke-17 menerusi Shafizi Iqmal Md Khirudin tetapi berjaya diselamatkan sekali lagi oleh penjaga gol lawan.
Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pada minit ke-22 oleh pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail kepada kapten Perak FC, Hafizal Muhamad kerana mengasari pemain Sri Pahang FC disusuli seorang lagi pemain tuan rumah, Fadhil Idris yang turut dilayangkan kad kuning selang empat minit kemudian.
Di sebalik penguasaan Sri Pahang FC, tuan rumah berjaya membuka jaringan pada minit ke-34 menerusi Christian Obiozor hasil umpanan Shafizi Iqmal sekaligus menyaksikan pasukan anak buah Datuk Lim Teong Kim mendahului 1-0.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad membuat pertukaran pertama mengeluarkan penyerang, Lee Jeonggeun dan memasukkan David Rowley.
Tidak lama selepas itu penyerang pasukan lawan, Sergio Aguero pula dilayangkan kad kuning kerana mengasari Farris Izdiham pada minit ke-39.
Tamat separuh masa pertama menyaksikan keputusan kekal menyaksikan tuan mendahului 1-0.
Bermula babak pertama, Perak FC membuat pertukaran pemain pertama menggantikan Ikwan Hafizo dengan Fahmi Daniel Muhd Zaim.
Sri Pahang FC mendapat peluang menyamakan kedudukan menerusi percubaan Kevin Ingreso namun berjaya ditolak keluar oleh penjaga gawang tuan rumah, Bryan See.
Pertahanan Perak FC, Ahmad Haziq Ahmad Puad dilayangkan kad kuning pada minit ke-63 selepas menjatuhkan pemain lawan sebelum dikeluarkan dengan diganti oleh Nasrol Amri Kamarul Azhar.
Sri Pahang FC juga membuat dua pertukaran pemain sekaligus mengeluarkan Sergio Aguero dan Kevin dengan memasukkan Abdul Malik Mat Ariff dan Nicholas Swirad.
Tidak lama selepas itu, pasukan tuan rumah kehilangan seorang pemain selepas Fadhil Idris dilayangkan kad merah apabila mengutip dua kad kuning.
Pelawat cuba memanfaatkan kelebihan bermain 11 orang menerusi percubaan sepakan percuma pemain import mereka, Stefano Brundo tetapi rembatannya didakap kemas penjaga gol Perak FC.
Pada minit ke-81, Pahang FC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff menjadikan keputusan semasa 1-1.
Gawang Perak FC terus diasak pada minit akhir perlawanan sebelum Sri Pahang FC dihadiahkan sepakan penalti disebabkan kekasaran dilakukan pemain tuan rumah ke atas Muhammad Baqiuddin Shamsudin
Stefano Brundo tidak melepaskan peluang menjaringkan gol kemenangan Sri Pahang FC menerusi sepakan penalti sekaligus membawa Tok Gajah ke pusingan kedua Piala FA.
Tamat perlawanan menyaksikan Perak FC kecundang di hadapan 4,219 penonton sendiri dengan keputusan 1-2.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!