Jumpa pakar untuk rawat trauma
SHAH ALAM - Golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga disarankan untuk berjumpa pakar psikiatri dan psikologi.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, ia bagi membantu merawat tekanan emosi dan trauma yang dialami oleh mereka.
Selain itu, ujarnya, stigma bahawa berjumpa pakar psikiatri dan psikologi itu membawa maksud orang gila juga patut dibuang.
Dalam masa sama, beliau meminta mangsa penderaan untuk tampil melaporkan kepada pihak berkuasa supaya perkara itu tidak terus berulang.
“Dalam keadaan sekarang ini, kita tahu tenaga wanita tidak setanding lelaki jadi apabila kes melibatkan keganasan rumah tangga ini selalunya mangsa takut untuk tampil membuat laporan polis.
“Bagi saya kalau mangsa tidak buat laporan, perkara ini tidak dapat diselesaikan dan makin ramai yang akan menjadi mangsa. Kini, kita ada akta jenayah untuk wanita dan kanak-kanak maka dalam soal ini golongan wanita khususnya perlu berani untuk membuat laporan.
“Selain itu, wanita sepatutnya berjumpa doktor mental health (kesihatan mental) untuk bantu menyelesaikan masalah trauma,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, chef selebriti, Datuk Zamzuri Abdul Wahab atau Chef Zam turut mengakui bahawa individu yang melakukan penderaan atau keganasan dengan mencederakan pasangan berkait dengan masalah psikologi.
“Pada saya kes keganasan rumah tangga ini satu penyakit dan berkait dengan psikologi seseorang. Lelaki atau perempuan akan mempunyai satu perasaan ‘berkuasa’ dan ‘boleh kawal’ apabila ‘pukulan’ mereka itu menakutkan pasangan masing-masing.
“Namun sekarang ini wanita yang banyak menjadi mangsa dan mengalah kerana sayang perhubungan, demi anak-anak atau memalukan keluarga jika berlakunya penceraian menyebabkan ramai yang sanggup bertahan meskipun disepak terajang,” jelasnya.
Tambahnya, sekiranya mangsa terus bertahan, ia takkan berakhir sebaliknya wanita perlu berani melaporkan serta jangan biar diri dianiaya dan dijadikan mangsa.
“Kita kena mempertahankan diri bukan terus lemah demi cinta.
“Tetapi, jika psikologi orang itu baik dia takkan cederakan seseorang yang disayang, bagaimanapun cegah sebelum parah,” tambahnya.
Lantik pegawai kebajikan di setiap komuniti mudahkan mangsa buat aduan
Sementara itu, Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) mencadangkan agar kerajaan melantik pegawai kebajikan di setiap komuniti bagi memudahkan mangsa khususnya golongan wanita yang terlibat dengan gangguan seksual dan keganasan rumah tangga untuk membuat aduan.
Presidennya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, pegawai lantikan itu perlu diberi latihan yang cukup bagi mengendalikan kes-kes berkenaan.
Katanya, mereka bukanlah berperanan sebagai kaunselor atau polis tetapi tahu cara untuk mendapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya.
“Pegawai kebajikan ini telah lama wujud di luar negara. Mereka sepatutnya berada dalam komuniti bukan daerah, senang apabila ada individu terlatih berada dalam kalangan masyarakat, aduan boleh dibuat secara terus.
“Mereka akan jadi mata, mulut dan telinga masyarakat. Tidak dinafikan sudah ada pelbagai saluran lain namun agak sukar untuk dicapai oleh mangsa sekali gus risau stigma negatif masyarakat sering menyalahkan mangsa (victim blaming),” katanya pada Rabu.
Pada Selasa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2021 yang diluluskan di Parlimen turut membela nasib wanita termasuk mangsa keganasan rumah tangga.
Dalam pada itu, Wan Azliana berkata, kesedaran dan pelaksanaan undang-undang di negara ini masih dikategorikan sebagai lemah.
“Kesedaran terbahagi kepada tiga kategori iaitu dalam kalangan masyarakat, mangsa dan juga pelaku. Walaupun pelbagai akta dibuat oleh kerajaan namun masalah ini seolah-olah tiada kesudahan kerana kurang kesedaran.
“Jadi saya berpendapat, semua pihak perlu memainkan peranan dan sentiasa menyebarkan kesedaran bagi memastikan tiada individu yang menjadi mangsa penderaan seksual mahupun rumah tangga,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!